DADAH dirampas daripada suspek. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
DADAH dirampas daripada suspek. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI Myanmar aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar hutan paya bakau di Bagan Sungai Besar, Sungai Besar, dicekup polis semalam.

Suspek berusia 28 tahun itu dipercayai mula membekalkan dadah kepada penagih sekitar daerah ini sejak tahun lalu.

Aktiviti suspek terbongkar selepas satu ‘port’ penagihan di kawasan itu diserbu sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, pada 4 petang.

Dia yang menyedari kehadiran pihak polis cuba meloloskan diri namun gagal dan ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya.

“Hasil pemeriksaan dalam beg milik suspek menemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 31.55 gram.

“Nilai pasaran bagi dadah berkenaan dianggarkan RM1,000 dan bahan larangan itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Selain itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah. Suspek ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 3:14 PM