Siti Rohana Idris

Pasir Mas: Bakal pengantin yang dikatakan mengalami gangguan makhluk halus mendakwa dirogol seorang bomoh yang dikenali di Tendong dekat sini, ketika mendapatkan rawatan pada petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir berkata, pada mulanya gadis berusia 23 tahun itu dikatakan terjumpa dengan suspek berusia 67 tahun di sebuah kedai pada hari kejadian dan menceritakan keadaan dialaminya kepada lelaki terbabit.

"Suspek kemudiannya memberitahu boleh merawatnya dan meminta mangsa ke rumahnya sebelum gadis itu hadir pada 3 petang bersama bakal suaminya.

"Selepas itu, lelaki terbabit minta wanita berkenaan masuk ke bilik rawatan melalui pintu belakang dengan diiringi isterinya," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, mangsa kemudiannya diminta menanggalkan seluar dan sesi 'rawatan' dimulakan apabila hanya tinggal mereka berdua di dalam bilik itu.

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol remaja perempuan di sebuah rumah di Gunong, Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol remaja perempuan di sebuah rumah di Gunong, Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, sesi 'rawatan' selama setengah jam itu berakhir dengan kejadian rogol dan suspek meminta agar wanita itu datang sekali lagi untuk rawatan susulan.

"Suspek juga memberi amaran kepada wanita itu agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu tetapi mangsa menceritakan kepada bakal suaminya serta keluarga sebelum tampil membuat laporan polis.

"Susulan laporan itu, suspek yang juga pesara kerajaan ditahan polis pada tengah malam hari yang sama di rumahnya," katanya.

Nasaruddin berkata, siasatan awal mendapati suspek sudah menjalankan rawatan itu kira-kira 36 tahun lalu dan dipercayai sudah lebih 10 pesakit menjadi mangsa.

Beliau berkata, isteri suspek yang berusia sekitar 60-an mendakwa tidak mengetahui mengenai perbuatan suaminya itu.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 22 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 11:44 AM