Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Seramai 17 individu membuat laporan enggan menerima vaksin di Pasir Mas sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir berkata, laporan itu dibuat mewakili keluarga masing-masing dengan alasan keselamatan diri.

"Mereka berumur antara 30 hingga 50 daripada pelbagai latar belakang serta kerjaya.

"Kami hanya menerima laporan dan kita serahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan negeri untuk tindakan lanjut," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, sejak tiga hari pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan di beberapa lokasi tarikan di daerah itu, pihaknya mendapati rata-rata pengunjung patuh kepada peraturan.

Beliau berkata, lokasi tinjauan dibuat sekitar pasar dan bandar termasuk zon bebas cukai Rantau Panjang.

"Kebanyakan pengunjung adalah dari negeri luar sama ada datang ke Kelantan untuk bercuti atau belajar dan hasil pemeriksaan, rata-ratanya sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 3:56 PM