Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis Kelantan menemui 12,000 pil kuda dan dua ketulan kristal disyaki syabu seberat 10 kilogram (kg) yang disembunyikan di atas siling tandas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rantau Baru, Gual Nering, Rantau Panjang, petang kelmarin.

Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 30 dan 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan lelaki itu dibuat pada jam 5 petang Rabu lalu di tepi jalan di pekan Pasir Mas.

"Pemeriksaan lanjut di beg silang yang dipakai suspek menjumpai satu bungkusan plastik pos laju yang mengandungi 4,000 biji dadah disyaki pil kuda.

"Penahanan itu membawa pihak berkuasa ke rumah sewanya yang didiami bersama isteri serta bayi lelaki berusia enam bulan dan pemeriksaan lanjut di atas siling bilik air menemui kotak kertas berwarna coklat.

"Di dalamnya terdapat dua bungkusan kertas kekuningan yang berisi 30 plastik warna biru mengandungi 12,000 pil kuda," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

BARANGAN rampasan serta wang tunai di dua kawasan di Gunong, Bachok dan Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
BARANGAN rampasan serta wang tunai di dua kawasan di Gunong, Bachok dan Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Turut ditemui 10 bungkusan plastik yang mengandungi ketulan mampat kristal disyaki syabu seberat 10 kg.

Beliau berkata, rampasan pil kuda adalah sebanyak 16,000 dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM520,000.

"Kami turut membuat sitaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Myvi, Honda City, motosikal jenis Yamaha 125Z dan Yamaha NVX, rantai leher, dua rantai tangan, dua cincin, loket serta wang tunai berjumlah RM61,758," katanya.

Muhamad Zaki percaya suspek terbabit dengan sindiket pengedaran dadah berdasarkan lokasi penyimpanan dadah di atas siling yang seakan sudah biasa disorok di bahagian itu.

Katanya lagi, hasil soal siasat mendapati dadah itu diambil dari seorang pengedar di Thailand dengan tumpuan pasarannya adalah sekitar Kelantan.

"Ujian saringan yang dibuat mendapati suspek negatif dadah namun mempunyai satu rekod lampau berkait dadah dan lelaki itu bersama isterinya ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 29 Disember ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 2:19 PM