Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kematian individu yang dipercayai ahli perniagaan yang juga pemaju hartanah terkemuka yang terjatuh dari kondominium di Pulau Tikus di sini, setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bagaimanapun polis sedang menjalankan siasatan berhubung kematian lelaki bergelar Datuk berusia 53 tahun itu.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai SDR dan punca kejadian masih dalam siasatan polis," katanya di sini, hari ini.

Cubaan untuk mendapatkan kenyataan waris mangsa yang berada di Unit Jabatan Forensik HPP kira-kira jam 4 petang gagal kerana mereka enggan ditemubual.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 16 kondominium mewah berkenaan sebelum ditemukan terbaring berhampiran kolam renang dalam keadaan cedera parah

Polis mengesahkan menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.20 pagi.

ANGGOTA polis bersama forensik sedang menjalankan siasatan di sebuah kondominium di Jalan Kelawai, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA polis bersama forensik sedang menjalankan siasatan di sebuah kondominium di Jalan Kelawai, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong

Mangsa adalah saksi pendakwaan kes membabitkan projek mega di Pulau Pinang serta pernah memberi keterangan di mahkamah sebelum ini.

Difahamkan mangsa tinggal bersama isteri serta dua anaknya masing-masing lelaki dan perempuan di unit kondominium itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:39 PM