Biji koko bernilai RM3 juta yang dirampas MAQIS di Pelabuhan Tanjung Pelepas baru-baru ini. FOTO Ihsan MAQIS
Biji koko bernilai RM3 juta yang dirampas MAQIS di Pelabuhan Tanjung Pelepas baru-baru ini. FOTO Ihsan MAQIS
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menggagalkan cubaan membawa masuk 253,179 kilogram (kg) biji koko bernilai RM3 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri baru-baru ini.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan pegawainya terhadap kontena mengandungi biji koko dari Nigeria.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bahan komoditi itu mengandungi ulat dan serangga perosak.

“MAQIS menahan biji koko dari Nigeria di PTP dan pemeriksaan mendapati kontena biji koko itu mengandungi ulat serta serangga perosak.

“Anggaran rampasan 253,170 kg biji koko bernilai RM3 juta,” katanya dalam kenyataan berhubung rampasan pada 19 Ogos lalu.

Katanya, MAQIS melaksanakan pemeriksaan ketat di pintu masuk negara untuk mengesan kemasukan pertanian bagi menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan dalam negara.

“Ia bagi memastikan tiada penyakit dan perosak masuk sekali gus merosakkan industri tanaman serta menjejaskan ekonomi negara. “Kes disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 1:37 PM