Baharom Bakar


Kuala Nerus: Seorang pemandu lori menggunakan surat kebenaran rentas negeri untuk mendapatkan upah bagi melakukan kegiatan penyeludupan rokok.

Lelaki berusia 37 tahun berasal dari Gua Musang, Kelantan itu menggunakan lori didaftarkan untuk mengangkut bahan pertanian ditahan dalam operasi Kontraban di kawasan stesen minyak di Manek Urai, Kuala Krai, pada 5.20 petang Sabtu lalu.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan itu menemukan 40 kotak besar mengandungi 400,000 batang rokok putih bernilai RM32,000.

Beliau berkata, nilaian keseluruhan rampasan termasuk cukai rokok dianggarkan RM300,000.

HASAN Basri (dua dari kiri) melihat rokok seludup di dalam lori yang ditahan anggotanya. FOTO BAHAROM BAKAR.
HASAN Basri (dua dari kiri) melihat rokok seludup di dalam lori yang ditahan anggotanya. FOTO BAHAROM BAKAR.

"Siasatan mendapati lelaki itu memiliki tiga rekod lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah dan kecurian motosikal.

"Ketika soal siasat, lelaki itu mengaku menerima upah RM500 daripada ahli sindiket yang mengarahnya membawa barangan berkenaan dari Wakaf Bahru ke Gua Musang, Kelantan.

"Lelaki itu ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Batalion 9 PGA Gong Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Turus Gerakan PGA, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Jamal Zainan.

Hasan Basri berkata, dalam kes berasingan, 90 kotak besar mengandungi 900,000 batang rokok putih bernilai RM72,000 dirampas dari lori ditinggalkan di kawasan tempat letak kenderaan di Medan Selera Sri Langkap, Setiu, pada 10 pagi Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 5:30 PM