Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Polis sedang mengenal pasti rangkaian atau kartel yang mendominasi sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras di negara ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, siasatan sedang dijalankan terhadap beberapa individu yang sudah ditahan menerusi Op Kontraban yang dilakukan.

"Kita sudah menahan beberapa individu dari pelbagai sindiket, daripada suspek ini kita akan kesan sindiket yang mendominasi penyeludupan rokok.

"Kita tahu rangkaian mereka ini ada di luar negara, sindiket ini juga akan menghantar bekalan apabila adanya permintaan daripada rangkaian di negara ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Azri berkata, aktiviti penyeludupan memberi kesan negatif kerana negara kehilangan pendapatan dari hasil cukai yang akan memberi impak kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

"Susulan dari itu Op Kontraban dilancarkan bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah penyeludupan terutamanya rokok dan minuman keras yang mengancam ekonomi negara.

"Kegiatan ini amat berleluasa sehingga kerajaan mengalami kerugian kutipan cukai berjumlah RM5 hingga RM6 billion setahun," katanya.

AZRI Ahmad bersama Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA), Datuk Kasuahdi Ali (dua kiri) menunjukkan rampasan rokok seludup pelbagai jenama bernilai anggaran lebih RM3 juta. FOTO Hazreen Mohamad
AZRI Ahmad bersama Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA), Datuk Kasuahdi Ali (dua kiri) menunjukkan rampasan rokok seludup pelbagai jenama bernilai anggaran lebih RM3 juta. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 2:36 PM