Baharom Bakar

Kuala Nerus: Sebanyak 90 kotak mengandungi 900,000 batang rokok seludup dirampas susulan pemeriksaan ke atas lori yang ditinggalkan di kawasan tempat letak kenderaan di Medan Selera Sri Langkap, Setiu, Ahad lalu.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, lori yang mencurigakan itu didapati ditinggalkan di kawasan berkenaan kira-kira 1 pagi dan susulan maklumat diterima, pasukan khas melakukan intipan serta pemantauan selama 10 jam untuk mengenal pasti pemandu lori berkenaan

Katanya, bagaimanapun tiada siapa yang muncul mengambil lori terbabit menyebabkan anggotanya melakukan pemeriksaan dan menemukan 90 kotak besar.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua kotak itu mengandungi 900,000 rokok putih dianggarkan bernilai putih bernilai RM72,000.

"Nilaian rampasan keseluruhan termasuk lori adalah sebanyak RM795,000," katanya pada sidang media di Batalion 9 PGA Gong Badak di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Turus Gerakan PGA, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Jamal Zainan.

Hasan Basri berkata, berdasarkan risikan mendapati modus operandi sindiket rokok seludup bergerak dengan dua lori berasingan menuju ke Kuala Krai, Kelantan dan Kuala Terengganu selepas mengambi muatan di sebuah pangkalan haram di sempadan negara jiran untuk dipasarkan di Kuala Lumpur.

HASAN (tengah) dan pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan di Kuala Krai, Kelantan dan Setiu pada sidang media di Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak, hari ini. FOTO Baharom Bakar
HASAN (tengah) dan pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan di Kuala Krai, Kelantan dan Setiu pada sidang media di Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Dalam perkembangan lain katanya, seorang pemandu lori menggunakan surat kebenaran rentas negeri untuk mendapatkan upah bagi melakukan penyeludupan rokok.

Lelaki berusia 37 tahun dari Gua Musang, Kelantan itu turut menggunakan lori yang didaftarkan mengangkut bahan pertanian ditahan dalam operasi kontraban di kawasan stesen minyak di Manek Urai, Kuala Krai, kira-kira jam 5.20 petang Sabtu lalu.

Hasan Basri berkata, hasil pemeriksaan menemukan 40 kotak besar mengandungi 400,000 batang rokok putih bernilai RM32,000 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai rokok dianggarkan RM300,000.

"Siasatan dilakukan mendapati lelaki itu memiliki tiga rekod lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah dan kecurian motosikal.

"Lelaki itu mengaku menerima upah sebanyak RM500 oleh ahli kumpulan sindiket yang mengarahnya membawa barangan berkenaan daripada Wakaf Bahru ke Gua Musang, Kelantan," katanya.

Katanya, pemandu lori terbabit ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1), (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 4:21 PM