Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Cubaan lelaki menyembunyikan 880,000 batang rokok bernilai RM660,000 di bawah timbunan baja bagi mengaburi pihak berkuasa, gagal apabila dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Semua rokok itu dipercayai diseludup dari Thailand diisi di dalam 88 kotak coklat dan dibawa menaiki lori jenis Nissan UD, sebelum ditahan di Jalan Tendong-Melor di sini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, anggota yang melakukan rondaan terserempak lori itu yang mencurigakan pada 9 pagi dan meminta pemandu lelaki berusia 44 tahun memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan dibuat dan anggota menemui rokok putih disorokkan di bawah timbunan baja yang ditutup kanvas dan suspek didapati mengemukakan dokumen pengoperasian palsu semata-mata untuk mengaburi petugas di sekatan jalan raya (SJR) yang bakal dilalui.

"Hasil siasatan mendapati, kesemua rokok telah dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai untuk pasaran Johor dan suspek mengaku bertanggungjawab sebagai 'transporter' yang menerima upah RM100 hingga RM300.

Hasan Basri (kiri) bersama anggotanya menunjukkan rampasan 880,000 batang rokok bernilai RM660,000 yang disorokkan di bawah timbunan baja menggunakan sebuah lori. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hasan Basri (kiri) bersama anggotanya menunjukkan rampasan 880,000 batang rokok bernilai RM660,000 yang disorokkan di bawah timbunan baja menggunakan sebuah lori. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Anggota menahan suspek dan merampas lori serta rokok berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Kem PGA Batalion 8 (PGA8) di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah PGA8, Superitenden Mat Shukor Yusof.

Hasan Basri berkata, ujian air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, namun dia tiada rekod jenayah lampau.

"Pihak kami percaya penyeludup memiliki lokasi atau gudang transit di sepanjang sempadan negara, namun bagi kes ini, barangan yang masuk tidak lebih dua jam akan terus dibawa menaiki lori agar tidak dikesan anggota bertugas.

"Kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan dengan kerjasama kumpulan sindiket, justeru kami akan meneruskan siasatan ke atas suspek bagi mengenal pasti sindiket terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 2:24 PM