ROKOK yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PGA
ROKOK yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Lahad Datu: Tindakan dua beradik yang menerima upah untuk menghantar rokok seludup menjerat diri apabila mereka ditahan sepasukan anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Jeroco - Lahad Datu, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan bersama 820 karton rokok bernilai RM85,848 oleh anggota task force Batalion 17 PGA yang menjalankan tugas Op Kontraban, kira-kira jam 7 pagi.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan rondaan, anggotanya menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam bahagian belakang lori menemui 36 plastik hitam dan dua kotak warna coklat.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 820 karton rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM85,848.

"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori bernilai RM235,848," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua beradik terbabit mengambil upah untuk menghantar rokok seludup dari Kota Kinabalu ke Tawau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 9:44 AM