Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menumpaskan kegiatan memproses dadah di rumah di Meru Raya, di sini, dengan penahanan enam lelaki dipercayai terbabit kegiatan itu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, 9.42 kilogram (kg) heroin selain 1.14 kg syabu bernilai keseluruhan RM167,268 turut dirampas hasil pembongkaran makmal haram berkenaan.

Katanya, operasi dikendalikan Jabatan Siastan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak bersama JSJN Bukit Aman dengan lima serbuan di negeri ini dan Negeri Sembilan antara 7.20 malam Ahad lalu hingga 9.45 malam keesokannya.

Sebahagian barangan  dan dadah yang di rampas yang dianggarkan bernilai RM167.268.00 ketika sidang media di IPK Perak. FOTO L.MANIMARAN
Sebahagian barangan dan dadah yang di rampas yang dianggarkan bernilai RM167.268.00 ketika sidang media di IPK Perak. FOTO L.MANIMARAN

"Turut dirampas dalam operasi ini adalah bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah yang mana jumlah dadah yang berjaya dirampas boleh menampung keperluan seramai 52,800 penagih.

"Heroin dan syabu yang diproses sindiket ini adalah bagi pasaran tempatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, sindiket dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan semua suspek berusia 21 hingga 39 tahun direman enam hari bermula Isnin lalu hingga 19 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, saringan awal mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis ganja dan opiate, manakala kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Katanya, selain rampasan dadah tindakan juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sitaan pelbagai aset milik sindiket itu yang dianggarkan bernilai RM181,500, meliputi lima kenderaan serta dua barangan kemas.

"Justeru nilai keseluruhan rampasan dasah dan sitaan harta adalah sebanyak RM348,768.

"Kita akan teruskan usaha mengesan saki-baki anggota sindiket yang dipercayai terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 10:37 AM