Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Wanita warga emas berusia 73 tahun ditahan bersama 1.45 kilogram dadah jenis methamphetamine (syabu) dan heroin di sebuah rumah di Taman Aulong Maju, Taiping, Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata penahanan wanita warga tempatan itu dilakukan jam 7 malam oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Taiping menerusi Op Tapis Khas Bil.3/2022.

Beliau berkata, saringan air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

"Pemeriksaan di rumah didiami wanita itu menjumpai bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 1 kilogram (kg) serta 30 plastik mengandungi bahan disyaki heroin seberat 450 gram, selain peralatan membungkus dadah.

"Ketika serbuan, hanya wanita itu seorang sahaja yang berada di dalam rumah itu dan siasatan sedang dijalankan terhadap pemilik sebenar dadah itu," katanya dalam sidang media di bilik media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, wanita itu kini direman lima hari bermula semalam sehingga 25 April depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, nilai keseluruhan dadah dirampas adalah RM115,750 yang mana jumlah rampasan itu mampu menampung kira-kira 10,300 penagih.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan yang dijalankan di Bandar Seri Botani, di sini, kira-kira jam 11.45 malam Rabu lalu, seorang lelaki berusia 32 tahun turut ditahan selepas serbuan menemukan dia bersama tujuh bungkusan plastik berisi bahan disyaki heroin seberat 3.188 kilogram.

Mior Faridalathrash berkata, penahanan lelaki dengan empat rekod kesalahan lampau membabitkan dadah itu dilakukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak, yang mana dia turut didapati positif methamphetamine menerusi saringan air kencing.

"Keseluruhan dadah yang dirampas dari lelaki itu iaitu berjumlah RM111,580 boleh menampung bekalan kira-kira 7,000 penagih yang mana ia turut disyaki bagi edaran pasaran tempatan," katanya.

Mengenai Op Tapis Khas Bil 3/2022 yang dijalankan serentak di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri bermula 18 April sehingga 20 April lalu, Mior Faridalathrash berkata seramai 417 individu termasuk 40 warga asing berusia antara 16 hingga 73 tahun berjaya ditangkap.

Beliau berkata, selain serbuan terhadap 18 sarang penagih (pot), operasi selama tiga hari itu turut membabitkan serbuan terhadap jeti nelayan kawasan laut sepanjang persisiran perairan di Perak, dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM293,918.

"Rampasan membabitkan 4,056.99 gram (g) heroin, 1,368.90g syabu (methamphetamine); 261.86g ganja; 150 kilogram daun ketum; dan 44.03 liter cecair ketum

"Daripada keseluruhan tangkapan, 90 ditahan kerana kesalahan mengedar dadah; memiliki dadah (151); dan 176 penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Selain itu seramai 12 individu ditangkap di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah; di samping 13 individu yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki (wanted person) juga ditangkap.

"Seramai 19 penagih tegar juga dikenal pasti dan mereka akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan tidak melebihi tiga sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 5:48 PM