Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Seorang lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pekan Baru, di sini, hari ini, sekali gus menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang aktif sejak lapan bulan lalu di sekitar Teluk Intan.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 2.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah itu membawa kepada rampasan dadah dianggarkan bernilai RM87,733.

"Kami menemui 10 paket plastik lutsinar dipercayai heroin anggaran berat 2.4 kilogram (kg), empat paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine dianggarkan 21.50 gram (g) satu paket plastik lutsinar disyaki ganja dianggarkan 24.94g.

"Selain itu, polis merampas sepucuk pistol, satu kelopak dan 34 butir peluru dan senjata itu digunakan untuk melindungi dirinya dalam kegiatan itu.

"Selain itu, seutas rantai leher bernilai RM2,500 turut dirampas dalam serbuan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, suspek yang juga penganggur itu positif ganja atau Tetra Hydrocannibol (THC) hasil ujian awal saringan air kencing dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, lelaki itu berseorangan dan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar Teluk Intan yang boleh dibekalkan untuk 3,500 penagih dadah.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

MIOR Faridalathrash (dua dari kanan) meninjau lokasi Jefri Ismail, 36, dilaporkan hilang di kebun kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap, kelmarin. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
MIOR Faridalathrash (dua dari kanan) meninjau lokasi Jefri Ismail, 36, dilaporkan hilang di kebun kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap, kelmarin. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:02 PM