Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.5 juta dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Perak, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lapan suspek dipercayai ahli kumpulan sindiket itu ditahan menerusi serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Perak bermula 11.10 pagi hingga 5.30 petang itu.

"Lapan suspek berusia antara 32 hingga 37 tahun itu dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah dan mereka ditahan di beberapa lokasi seperti di rumah, di luar rumah dan di dalam kereta.

"Polis merampas dadah jenis syabu (123.8 kilogram), heroin (105 gram) dan ketamin (150 gram) yang boleh digunakan seramai 620,025 penagih dadah," katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

MIOR Faridalathrash (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai dadah yang dirampas. FOTO L MANIMARAN
MIOR Faridalathrash (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai dadah yang dirampas. FOTO L MANIMARAN

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai membawa masuk bekalan dadah dari negeri Pantai Timur untuk pasaran tempatan sekitar Perak.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lalu dan saki bakinya masih dikesan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati lapan suspek itu negatif dadah dan semakan rekod jenayah mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan.

"Tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila JSJN menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM212,712 membabit wang tunai, barang kemas dan pelbagai jenis kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 11:53 AM