ROSAYU Ramli meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2 September lalu. FOTO Mary Victoria Dass
ROSAYU Ramli meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2 September lalu. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: "Pada hari kejadian, ibu mengalami kemalangan kecil di rumah termasuk terjatuh di bilik air dan terlanggar tembok rumah namun dia masih ingin ke tempat kerja serta menyatakan akan berehat di situ," kata Muhammad Haikal Rajali.

Muhammad Haikal yang petah berbicara berkata, dia tidak menyangka, ibunya, Rosayu Ramli, 38, 'berehat' selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Taman Kota Jaya di sini, 2 September lalu.

Menurutnya, ibunya yang juga pekerja bahagian pembersihan di Hospital Kota Tinggi (HKT) keluar rumah jam 5.30 pagi dan keluarganya dimaklumkan berkaitan kemalangan itu kira-kira 45 minit kemudian.

Katanya, dia dan dua beradiknya, Muhammad Nor Yusuf, 15, dan Siti Nur Hijrah, 7, terkejut apabila dimaklumkan ibu mereka yang menunggang motosikal terbabit kemalangan dengan bas.

"Selepas bapa, Rajali Sunik eninggal dunia akibat serangan jantung tiga tahun lalu, ibu dan kami bertiga tinggal bersama nenek dan bapa saudara.

"Ibu seorang yang rajin dan kebiasaannya, sebelum ke tempat kerja, dia bangun awal untuk menyediakan makanan untuk kami sekeluarga.

"Saya akan merindui masakan ibu terutama ayam masak merah sampai bila-bila, selepas ini kami tidak dapat menikmati lagi air tangan ibu," katanya.

Muhammad Haikal dan adik-beradiknya tinggal bersama nenek, Intan Kurus, 61, dan bapa saudara, Mohd Nor Hisham Ramli, 26, di Kampung Kelantan di sini.

Sementara itu, Mohd Nor Hisham berkata, keluarganya akan melakukan yang terbaik demi masa depan tiga beradik berkenaan.

"Adik-beradik kami, terutama abang yang bekerja di Singapura mahupun adik bongsu, Mohamad Norazam yang tinggal berhampiran menguruskan kebajikan mereka.

"Saya tidak bekerja kerana mengurus ibu yang menghidap masalah darah tinggi dan diabetes sejak beberapa tahun lalu.

"Saya sudah biasa mengurus anak saudara dan bersyukur diberi kesihatan baik bagi menjaga mereka. Saya berdoa supaya mereka sentiasa diberkati dan menjadi anak yang soleh," katanya ditemui hari ini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:04 PM