Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Setahun sudah berlalu namun pemergian ibu bapa tersayang akibat kemalangan jalan raya masih berbekas di hati lima beradik yatim piatu yang menetap di Jalan Mohd Saad di sini.

Lebih sayu tatkala ketika umat Islam menyambut Ramadan dan tidak lama lagi bakal meraikan perayaan Aidilfitri, mengundang rasa sebak apabila mengingati kenangan terindah bersama ibu bapa mereka.

Nur Afni Nirwani Khairizul, 17, dan empat adiknya Nur Istna Nadira, 15, Nur Erna Nabila, 13, Nur Qurratul Ain, 8 dan Muhammad Khairi Zafran, 3 kehilangan ibu bapa mereka akibat kemalangan jalan raya pada Februari tahun lalu.

Kini lima beradik itu menumpang kasih dengan datuk mereka, Hassan Ismail, 68, dan nenek Asma Laili Muhammad, 59, serta ibu saudara mereka, Nurliana, 26.

Nur Afni berkata, sebagai anak sulung dia berusaha memberi motivasi dan kata-kata semangat terhadap empat adiknya untuk meneruskan hidup tanpa kedua ibu bapanya.

"Tipulah jika saya kata tidak susah tetapi saya perlu kuat demi adik-adik dan bersyukur sebab ada datuk dan nenek serta ibu saudara yang menjadi pelindung kepada kami lima beradik.

"Lebih setahun pemergian mama dan abah namun setiap detik tidak pernah kami lupakan mereka. Setiap kali teringatkan mereka, hanya doa yang dapat saya serta adik-adik kirimkan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mengimbau kenangan berpuasa bersama kedua ibu bapanya, Nur Afni berkata, kenangan membantu ibunya menyediakan juadah berbuka didapur sentiasa tersemat dalam ingatan.

"Kami sekeluarga meminati menu nasi tomato dan ayam masak merah jadi memang akan selalu tolong mama di dapur untuk menyiapkannya.

"Tapi kini semua tinggal kenangan dan sekarang berbeza sangat bila berpuasa tanpa mereka berdua," katanya.

Nur Afni berkata, datuk dan neneknya sudah menyediakan baju raya kepada mereka lima beradik.

"Jika dulu persiapan raya dibuat oleh mama dan abah kini kini tokwan (datuk) dan tok (nenek) yang sediakan termasuk maksu (ibu saudara) yang mengambil berat akan kami.

"Dalam sedih saya bersyukur kerana ada mereka di sisi kami lima beradik," katanya yang memaklumkan bahawa arwah ibu bapanya meminati kuih samperit sebagai juadah hari raya.

Sementara itu, Asma Laili berkata, dia tidak pernah sesekali melupakan arwah anak perempuan serta menantunya yang juga sudah dianggap seperti anak kandung sendiri.

"Arwah anak sangat periang dan kalau nak buat apa-apa dialah yang paling ceria sekali. Sama juga dengan menantu yang baik dan bertanggungjawab.

"Terasa sangat kehilangan kedua-duanya dan tidak sangka sudah masuk tahun kedua kami sekeluarga berpuasa dan beraya tanpa mereka berdua di sisi.

"Saya dan suami serta anak-anak lain akan sentiasa menjaga anak-anak arwah dengan sebaik mungkin," katanya.

Nur Afni Nirwani Khairizul, 17, dan empat adiknya Nur Istna Nadira, 15, Nur Erna Nabila, 13, Nur Qurratul Ain,8 dan Muhammad Khairi Zafran,3 menumpang kasih dengan datuk mereka, Hassan Ismail, 68, dan nenek Asma Laili Muhammad, 59, serta ibu saudara mereka, Nurliana,26 selepas kematian ibu bapa mereka akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Afni Nirwani Khairizul, 17, dan empat adiknya Nur Istna Nadira, 15, Nur Erna Nabila, 13, Nur Qurratul Ain,8 dan Muhammad Khairi Zafran,3 menumpang kasih dengan datuk mereka, Hassan Ismail, 68, dan nenek Asma Laili Muhammad, 59, serta ibu saudara mereka, Nurliana,26 selepas kematian ibu bapa mereka akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu. FOTO Nur Izzati Mohamad

Dalam kemalangan pada 9 Februari tahun lalu, Khairizul Mohamad Noor maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangi bersama isterinya, Zuriana Hasan, 35, dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara, dekat susur keluar Perai.

Khairizul dilaporkan maut di lokasi kejadian manakala isterinya, Zuriana pula menghembuskan nafas terakhir selepas dua bulan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 4:15 PM