DR Nor Hidayah menunjukkan cara pengurusan janin  tujuan pengebumian.
DR Nor Hidayah menunjukkan cara pengurusan janin tujuan pengebumian.
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Sejak kecil kami menemani ibu ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan di situ kami sembilan beradik diberi pendedahan berkaitan pengurusan jenazah," kata Dr Nor Hidayah Abd Radzaz, 32.

Nor Hidayah yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kini dia dan adik-beradiknya memberi pendidikan kepada masyarakat berkaitan urusan fardu kifayah itu.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata, dia dan adik-beradiknya mengambil inisiatif memberi pendedahan berhubung pengetahuan pengurusan jenazah terutama dalam kalangan generasi muda.

Katanya, dia bekerja sebagai penyelidik di UTM manakala ada antara adik-beradiknya bergelar peguam, jurutera, kakitangan jabatan kerajaan dan usahawan.

"Walaupun masing-masing ada kerjaya, kami tidak ada masalah untuk meluangkan masa memberikan pengetahuan kepada orang ramai berkaitan pengurusan jenazah orang Islam.

"Ibu kami, Sa'dah Saliehan (64) adalah pesara pengurus jenazah wanita di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) dan arwah bapa, Abd Radzaz Mijo adalah bekas bilal Masjid Abu Bakar.

"Selain bertugas sebagai pengurus jenazah, ibu juga memberi ceramah berkaitan pengurusan jenazah dan kerana kami sering mengikut dia, secara tidak langsung ilmu itu turut kami peroleh, malah kini kami pula berkongsi ilmu berkenaan dengan masyarakat kursus secara dalam talian serta kursus pengurusan jenazah pesakit Covid-19," katanya.

Nor Hidayah berkata, bagi memastikan ilmu itu dapat disampaikan mengikut saluran sesuai, dia mengasaskan Badan Pengurusan Jenazah al-Kauthar pada 2019 dengan kerjasama kakaknya, Siti Rasidah, 38, yang juga seorang peguam.

Menurutnya, semua adik-beradiknya juga memainkan peranan dalam memastikan kelancaran syarikat termasuk sebagai pengurus jenazah, pemandu van jenazah, penceramah dan membangunkan laman web syarikat.

Katanya, sejak menubuhkan syarikat, pihaknya berpeluang mengurus lebih 1,000 jenazah termasuk 630 jenazah pesakit Covid-19 pada tahun lalu.

"Sebagai pengurus jenazah, kami akur turut berdepan risiko mengurus jenazah pesakit Covid-19 namun apa yang penting adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE).

"Tiada perkara aneh dilalui kami dan apa yang diajar oleh ibu bapa kami adalah sentiasa mendoakan jenazah, berzikir dan berdoa supaya segala urusan lancar," katanya.

Nor Hidayah berkata, yang pasti sekiranya mahu bekerja menguruskan jenazah, seseorang itu perlu kental dan perlu ada ilmu.

"Tidak dinafikan banyak kali kami menangis kerana sedih terutama ketika mengurus jenazah pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas," katanya.

Nor Hidayah berkata, sesiapa sahaja boleh menguruskan jenazah namun menunaikan fardu kifayah itu menuntut seseorang itu mempunyai ilmu supaya proses memandikan jenazah dilakukan dengan sempurna dan memenuhi kehendak syarak.

Tawar khidmat percuma atau ikut kemampuan

Mengurus dan memandikan jenazah dilakukan Dr Nor Hidayah Abd Radzaz, 32,adalah sebagai memenuhi fardu kifayah, tetapi dalam masa sama turut mengakui ia adalah peluang untuk membantu masyarakat terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Nor Hidayah berkata, akibat wabak Covid-19, bukan sahaja waris tidak dapat menguruskan sendiri jenazah, malah ramai juga yang daripada golongan asnaf dan tidak mampu membiaya kos pengebumian ahli keluarga mereka.

Menurutnya, dalam usaha membantu golongan berkenaan, pihaknya menawarkan perkhidmatan secara percuma selain membenarkan pembayaran dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.

"Ada antara waris yang mendakwa tiada sumber kewangan ketika kami memaklumkan jenazah waris mereka perlu diurus.

"Dengan kerjasama agensi kerajaan, kami berpeluang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah hingga ke liang lahat," katanya yang memenangi anugerah gangsa di Pameran dan Pertandingan New Academia Learning Innovation (NALI) 2020 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi kursus pengurusan jenazah dalam talian.

Nor Hidayah berkata, melalui Badan Pengurusan Jenazah al-Kauthar yang ditubuhkan bersama lapan adik-beradiknya secara sukarela membantu mengurus jenazah yang tidak dituntut antara sebulan hingga dua tahun termasuk ada yang sudah reput.

"Kami juga pernah mengurus janin atau jenazah bayi termasuk yang menjadi mangsa pengabaian serta urus anggota badan yang tidak dituntut seperti kaki milik pesakit diabetes atau mangsa kemalangan.

"Sehingga kini kami mengurus 14 kaki di rumah mayat yang tidak dituntut. Selepas siap dikafankan, kaki terbabit kemudian dikebumi di sebuah tanah perkuburan," katanya.

Nor Hidayah berkata, selain itu, pihaknya turut menyediakan set keperluan jenazah bagi tujuan infak dan kegunaan sendiri ketika menguruskan jenazah umat Islam,

Menurutnya, secara tidak langsung ia bukan saja menjadi saham akhirat golongan yang menginfak malah membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan ketika mengurus jenazah.

"Terdapat ramai masyarakat terkesan dengan Covid-19 sehingga kehilangan sumber pendapatan.

"Lebih menyedihkan ada yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengendalikan jenazah ahli keluarga mereka sendiri. Maka dengan adanya infak set pengurusan jenazah dapat membantu mereka yang tidak mampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 12:00 PM