FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mansuhkan bayaran permit untuk tempoh setahun bagi membantu industri teksi kembali bernyawa.

Itu rayuan lebih 40,000 pemandu teksi seluruh negara agar kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan meneliti semula bayaran pembaharuan permit teksi.

Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia Kamarudin Mohd Hussain berkata, permit untuk tempoh setahun perlu dimansuhkan kerana membebankan pemandu teksi yang baru kembali bekerja sejak kelonggaran diberikan kerajaan.

Menurutnya, walaupun bayaran itu untuk tempoh setahun namun ia sudah pasti sukar dilunaskan pemandu yang hilang pendapatan sejak lebih setahun lalu.

"Kami memohon kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan menilai semula bayaran permit kerana ia membebankan pemandu.

"Sebagai tanda prihatin kepada nasib pemandu teksi, kerajaan seharusnya memansuhkan bayaran permit untuk sekurang-kurangnya setahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ramai pemandu yang kembali semula meneruskan perkhidmatan kepada pelanggan dan tidak kurang juga yang sudah 'menggantung' kunci kerana mata pencarian sejak puluhan tahun dahulu ranap disebabkan Covid-19 dan sukar untuk bangun semula meneruskan perkhidmatan.

"Kami memang tersepit bukan sahaja disebabkan Covid-19 malah tanggungan lain seperti sewa teksi yang perlu dijelaskan.

"Dengan pendapatan yang tidak seberapa dan baru hendak kembali bernafas, sudah pasti ruang untuk mengurangkan beban diperlukan," katanya.

Dalam beberapa artikel sebelum ini, komuniti pemandu teksi seluruh negara dikatakan hampir lumpuh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 3:15 PM