MOHAMED Farid (kanan) menyampaikan sumbangan kupon minyak petrol kepada pemandu teksi Ismail Kadir yang terjejas pendapatan akibat penularan Covid-19 sejak Mac lalu pada Program Cakna Pemandu Kereta Sewa. FOTO BERNAMA
MOHAMED Farid (kanan) menyampaikan sumbangan kupon minyak petrol kepada pemandu teksi Ismail Kadir yang terjejas pendapatan akibat penularan Covid-19 sejak Mac lalu pada Program Cakna Pemandu Kereta Sewa. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Kemerosotan pendapatan termasuk ada yang terlalu kerap pulang dengan tangan kosong kerana ketiadaan penumpang sejak Mac tahun lalu, memaksa segelintir pemandu teksi di Kelantan berhenti dan menyerahkan permit teksi mereka.

Bendahari Persatuan Kereta Sewa Kelantan Gabungan Barat Faizul Mustapa, 60, berkata, setakat ini hampir 30 daripada 300 ahli persatuan itu berbuat demikian disebabkan tidak dapat 'bergerak' selain tidak mampu menanggung kos operasi.

"Kebanyakan yang berhenti ialah mereka di kawasan Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor dan kita jangka jika keadaan ini berterusan, lebih ramai akan menyusul," katanya kepada pemberita pada Program Cakna Pemandu Kereta Sewa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi menyampaikan sumbangan baucar petrol bernilai RM50 kepada 21 pemandu teksi di daerah ini yang terjejas dengan Covid-19.

Menurut Faizul, pemandu teksi juga berdepan kesukaran untuk terus menanggung kos operasi tahunan termasuk lesen dan insurans kenderaan.

"Insurans perlindungan kereta juga perlu ditanggung pemandu teksi membabitkan jumlah antara RM800 hingga mencecah RM1,700, bergantung pada usia kereta selain lesen kereta dan perniagaan sebanyak RM300 bagi tempoh lima tahun.

"Kami merayu pihak berkaitan untuk tampil membantu ahli persatuan yang rata-rata hanya bergantung kepada teksi sebagai sumber pendapatan selain turut berharap kerajaan dapat menimbang pengecualian bayaran lesen dan permit sepanjang tempoh sukar ini," katanya.

Sementara itu, Ismail Kadir, 67, yang memandu teksi sejak 35 tahun lalu, berkata, dia kini hanya mengharapkan wang pemberian anak untuk meneruskan kehidupan selepas hilang punca pendapatan sejak Mac lalu.

"Jika sebelum ini saya mampu peroleh sekitar RM40 sehari, namun sejak Mac, saya langsung tiada pendapatan kerana ketiadaan pelanggan sebelum ambil keputusan duduk di rumah sahaja, kerana jika keluar bekerja pun saya akan pulang dengan tangan kosong," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 2:42 PM