PERKHIDMATAN teksi bermeter dilihat terkesan dalam arus digital dan lambakan perkhidmatan teksi e-hailing pada masa kini.
PERKHIDMATAN teksi bermeter dilihat terkesan dalam arus digital dan lambakan perkhidmatan teksi e-hailing pada masa kini.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Perkhidmatan teksi lama atau bermeter didakwa menuju ke arah zaman 'kepupusan' berikutan pengguna pengangkutan awam lebih cenderung menggunakan perkhidmatan e-hailing yang disifatkan lebih mudah dan pantas.

Malah faktor usia kenderaan, kaedah lama panggilan radio selain kurangnya minat 'pelapis' muda menjadi punca industri teksi lama kian suram.

Saingan dan lambakan teksi e-hailing di jalanan menambahkan derita apabila rata-rata pemandu teksi lama ini yang masih bertahan semakin sukar mencari makan.

Pengarah Urusan Destination Transport (M) Sdn Bhd. Siti Faradilah Datuk Aslah, 47, berkata, industri teksi tempatan belum berkubur sepenuhnya sebaliknya sedang melalui proses transformasi.

Menurutnya, keperluan pengangkutan awam masih tinggi di ibu kota dan pengangkutan awam teksi masih mendapat tempat dikalangan pengguna.

"Selaku syarikat pelopor menawarkan teksi radio pertama Bumiputera di Malaysia menerusi Comfort Taxi sejak ditubuhkan 1987, kami masih bertahan sehingga kini.

"Satu ketika dahulu, syarikat ini pernah memiliki lebih 400 pemandu teksi di bawah kendalian kami. Mereka menyewakan alatan seperti radio dengan caj sekitar RM120 setiap teksi pada ketika itu bagi memudahkan mendapat pelanggan," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan teksi ditawarkan Comfort Taxi membolehkan pemandu teksi dari pelbagai latar belakang bangsa mendapat peluang meningkatkan taraf hidup mereka ketika itu.

"Namun perkembangan teknologi membuatkan banyak perubahan berlaku dalam industri teksi. Sistem pengoperasian menggunakan laman sosial dan aplikasi digital mengambil alih tempat teksi lama.

"Susulan itu kami perlu berubah dan sedang menuju ke arah itu," katanya.

Sebagai syarikat penyedia perkhidmatan teksi, kepercayaan pelanggan adalah faktor utama mereka masih bertahan sehingga kini meskipun tidak sepenuhnya menggunakan aplikasi digital.

Meskipun zaman kegemilangan perkhidmatan teksi seperti era 90-an dan awal 2000 dahulu sukar dikembalikan namun Faradilah mempunyai perancangan bagi memastikan legasi perniagaan bapanya itu diteruskan.

Bagi memastikan transformasi syarikat teksi itu, Faradilah kini menubuhkan Comfort E Communication Sdn Bhd yang 'mesra' teknologi selain bakal menggunakan kenderaan tenaga baharu sebagai teksi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Pendekatan itu menjadikan perkhidmatan teksi lebih efisien selain melatih pemandu teksi kekal kompetetif dengan perkembangan teknologi semasa," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut akan menawarkan program sewa beli teksi dengan menyasarkan sebanyak 100 unit teksi baharu pada tahun hadapan termasuk permit dan meter.

"Malah kemudahan pembayaran kad debit dan kredit untuk pelanggan turut akan diperkenalkan.

"Sebagai Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, saya berharap supaya pemain industri dapat menyokong antara satu sama lain dalam menawarkan perkhidmatan teksi lebih berkualiti.

"Industri teksi berjaya mengharungi era pandemik sebelum ini dan perlu bergerak ke hadapan dan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

"Persaingan yang sihat antara teksi dan perkhidmatan e-hailing mampu meningkatkan tahap ekonomi serta menaikkan nama Malaysia di mata luar," katanya.

FADILAH menjadi antara pemandu teksi paling popular dan digemari pelanggan dari dalam dan luar negara.
FADILAH menjadi antara pemandu teksi paling popular dan digemari pelanggan dari dalam dan luar negara.

Guna laman sosial tarik pelanggan

Kuala Lumpur: Mula membawa teksi sekitar lapan tahun lalu, Fadilah Zakariah, 51, mengakui kini tidak 'menang tangan' dengan tempahan membawa pelanggan diterima selepas memahirkan diri dengan pelbagai aplikasi di media sosial.

Malah dia tidak kedekut apabila sering berkongsi tempahan yang tidak sempat diambilnya kepada rakan-rakan lain.

Itu antara pengalaman dikongsi pemandu teksi wanita ini yang memulakan kerjaya ini selepas bidang perniagaan diusahakannya tidak dapat diteruskan atas sebab tertentu.

Meneruskan kelangsungan hidup selain suaminya yang mengalami strok sejak 15 tahun lalu menjadikannya dia tabah menempuh dugaan dan menyahut cabaran sebagai pemandu teksi wanita.

"Mulanya saya hanya mengambil penumpang di stesen LRT dan lapangan terbang. Namun selepas itu saya mula mengambil penumpang menerusi perkongsian dalam kumpulan Whatsapp sebelum mampu bergerak sendiri.

Namun titik permulaan tempahan meningkat saban hari adalah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar tahun 2001. Saya menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan teksi," katanya ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia mendapat tunjuk ajar dari anak-anak dan rakan bagi menggunakan aplikasi Instagram, Facebook, Trip Advisor, Google dan TikTok.

"Saya turut menggunakan laman sosial ini sebagai kaedah 'pemasaran' selain berkongsi aktiviti sehariannya ketika mengambil dan menghantar penumpang ke seluruh Semenanjung Malaysia.

"Sejak itu tempahan yang diterima semakin meningkat. Bukan hanya kalangan pelanggan rakyat tempatan malah pelancong dari luar negara juga memilih saya sebagai pemandu teksi pilihan.

"Saya sentiasa aktif dan rajin membuat kandungan media sosial terutama di Facebook menerusi algoritma yang akan menghalakan kita 'audience' mengikut kekerapan perkongsian jenis kandungan itu.

"Pelancong luar negara akan sentiasa merujuk kepada butiran dan perkongsian saya di media sosial dan membuat tempahan untuk membawa mereka melancong di Malaysia," katanya.

Meskipun sudah mencecah 50-an namun ia bukanlah halangan untuk Fadilah memandu jarak jauh bagi tempoh masa lama.

Selain menjaga kesihatan diri dengan mengambil makanan kesihatan tambahan, dia akan memberhentikan kenderaan di kawasan rawat dan rehat untuk tidur sekejap sebelum meneruskan perjalanan.

Fadilah juga memiliki sijil pemanduan selamat menjadikan ia sebagai ciri dan elemen tambahan disenangi pelanggan.

GAN  tarik ramai pelanggan menggunakan teksinya dengan menggunakan pendekatan menyamai pemandu pelancong.
GAN tarik ramai pelanggan menggunakan teksinya dengan menggunakan pendekatan menyamai pemandu pelancong.

'Pelanggan suka sebab saya macam pemandu pelancong'

Kuala Lumpur: Tiada istilah kerjaya pemandu teksi di negara ini bakal pupus berikutan masih ramai golongan ini mampu memperolehi pendapatan lumayan hasil pekerjaan berkenaan.

Perkara itu diakui pemandu teksi, Gan See Kiet, 56, atau lebih dikenali sebagai Mr. Gan yang pernah menjadi duta #JomTeksi Touch 'n Go eWallet pada 2018 dan 2019.

Dia yang mulanya memandu teksi Proton Saga pada 2016 kemudian bertukar ke Persona dan kini menggunakan Toyota Innova.

"Saya pernah bekerja sebagai pengurus pemasaran dan memilih untuk menjadi pemandu teksi kerana mahukan sesuatu yang serasi dengan jiwa," katanya.

Rutinnya sentiasa sibuk dengan tempahan pelanggan dan ia bermula sejak era pandemik Covid-19.

"Saya mengambil penumpang di lapangan terbang dan sejak itu promosi mulut ke mulut menjadikan bilangan pelanggan saya bertambah dari masa ke masa," katanya.

Biarpun ramai yang beranggapan kerjaya pemandu teksi semakin malap namun penggunaan teknologi dan aplikasi media sosial membolehkan dia terus bertahan.

"Selain itu saya turut menjaga penampilan diri dan sentiasa kemas. Teksi juga dipastikan sentiasa bersih termasuk bahagian dalaman bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan.

"Selain pelancong dan pelanggan tetap tempatan, saya juga sering menerima penumpang dari luar negara seperti India, Maghribi, Indonesia, Colombia dan Filipina. Mereka selalu menempah perkhidmatan teksi saya dan kebiasaannya mereka adalah pelanggan berulang," katanya.

Menurutnya, selain menghantar pelancong ke hotel, ada juga pelanggan yang memintanya membawa bersiar-siar di lokasi menarik sekitar ibu kota.

"Saya bukan sekadar berperanan sebagai pemandu teksi, malah selalu juga seakan pemandu pelancong dan pelanggan suka dengan pendekatan begitu yang memudahkan mereka," katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan persaingan pemandu e-hailing namun masih ramai memilih perkhidmatan teksi.

"Ia bergantung bagaimana seseorang itu berusaha mempromosikan perkhidmatannya," katanya.


Permit teksi bermeter makin menurun

Kuala Lumpur: Profesion pemandu teksi lama menggunakan meter semakin berkubur? Kenyataan itu bersandarkan jumlah permit teksi yang dikeluarkan sejak empat tahun lalu di seluruh negara jelas mengalami penurunan ketara.

Maklumat itu dikongsikan Unit Komunikasi Korporat (UKK), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) baru-baru ini kepada Harian Metro.

Secara jelas, kewujudan aplikasi teksi e-hailing sejak 2012 memberi kesan terhadap jumlah permit teksi meliputi teksi mewah, teksi lapangan terbang dan kereta sewa.

Jumlah permit e-hailing pula dilihat semakin meningkat terutama pada tahun ini sejumlah 148,061 permit yang didaftarkan Angka ini jauh lebih tinggi berbanding 120,294 permit dicatatkan pada 2020.

Manakala bagi teksi 'tradisional', bilangan permit direkodkan pada tahun ini adalah 34,177 berbanding sekitar 43,988 permit pada tahun 2020.

Angka terkini itu menunjukkan penurunan berbanding 35,525 permit pada tahun 2022.

Meskipun teksi e-haling juga mengalami penurunan jumlah pendaftaran permit pada 2021 dengan 99,256 iaitu pengurangan sebanyak 21,038 namun tahun berikutnya jumlah permit meningkat kepada 100,928 iaitu peningkatan sebanyak 1,672 permit.

"Difahamkan era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 2020 menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan menyebabkan mereka menyertai sektor e-hailing.

"Namun pada 2021 iaitu ketika PKP mendapat kelonggaran serta beberapa industri kembali beroperasi, berlaku penurunan pendaftaran permit e-hailing.

"Melihat kepada situasi pada tahun ini, jumlah e-hailing adalah lebih empat kali ganda banyaknya berbanding teksi sekaligus memperlihatkan trend mobiliti pilihan pengguna di negara ini," ujar jurucakap APAD.

Menurutnya, meskipun lebih ramai yang memilih e-hailing namun masih ada lagi permintaan buat pengusaha teksi di Malaysia.

"Persaingan tidak seimbang antara keduanya namun setiap pelanggan mempunyai pilihan tersendiri untuk mobiliti awam mereka," katanya.


Kerajaan komited bela nasib 40,000 pemandu teksi

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengkaji cadangan penambahbaikan ekosistem industri teksi bagi memastikan kebajikan sekitar 40,000 pemandu teksi di seluruh Malaysia terus dipelihara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dikunjungi ahli-ahli daripada Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Se'Malaysia (GTSM) yang diterajui Kamarudin Hussain.

"Dalam sesi pertemuan di pejabat saya, saya sudah mendengar beberapa cadangan penambahbaikan ekosistem industri teksi termasuk bagi memastikan kebajikan sekitar 40,000 pemandu teksi di seluruh Malaysia terus dipelihara.

"Saya memberikan komitmen supaya cadangan yang dikemukakan itu akan disemak dan diteliti oleh kerajaan supaya satu pendekatan lebih adil dapat dilaksanakan dalam memastikan kelestarian industri teksi.

"Didoakan usaha yang dirancang ini mampu meningkatkan taraf hidup pemain industri teksi dan mutu perkhidmatan teksi kelak, Insya-Allah," kata beliau menerusi hantaran di Facebook semalam.

Kamarudin sebelum menyambut baik sebarang usaha dirangka kerajaan dalam menambah baik sistem pengangkutan awam ke arah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Pengangkutan tidak boleh hanya menjaga kepentingan pengguna sebaliknya perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah dihadapi pemain industri.

Beliau pernah meminta sektor teksi dan e-hailing diselaraskan dan diletakkan dalam satu kelas yang sama kerana menjalankan aktiviti yang sama.

Menurutnya, kaedah menyerahkan untung rugi pemandu teksi kepada syarikat pengendali adalah langkah yang tidak tepat.

"Kerajaan juga perlu mengawal kadar tambang perkhidmatan dengan memperkenal penetapan harga lantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 12:02 PM