KEMALANGAN yang menyebabkan lapan kenderaan berlanggar. FOTO Ihsan Pembaca.
KEMALANGAN yang menyebabkan lapan kenderaan berlanggar. FOTO Ihsan Pembaca.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Puchong: Polis menahan pemandu lori yang menyebabkan berlakunya perlanggaran lapan kenderaan di Lebuhraya Puchong-Bukit Jalil dekat sini, hari ini.

Kemalangan kira-kira 2 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Aizuddin Ab Wahab berkata, lori muatan kerikil itu dipandu lelaki 34 tahun dari arah Bukit Jalil menghala ke Puchong .

"Siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca daripada masalah brek lori berkenaan.

"Pemandu yang terbabit dalam kejadian itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod juga mendapati pemandu lori terbabit memiliki 13 rekod saman trafik namun sudah dijelaskan.

Tambahnya, ujian alkohol pemandu itu juga negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 9:15 PM