GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Komuniti pemandu teksi di seluruh negara memohon kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk menambah jumlah penumpang yang dibenarkan, berbanding seorang ketika ini.

Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, ia bagi membolehkan sektor pengangkutan awam itu kembali bernyawa seiring kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi.

Katanya, berikutan kapasiti seorang penumpang pada satu-satu masa, ia telah mengehadkan pemandu teksi daripada meraih pendapatan kompetatif.

"Ramai penumpang tidak memilih menaiki teksi hanya disebabkan seorang saja dibenarkan di dalam teksi pada satu masa.

"Ia menyebabkan masyarakat masih tidak mahu menaiki teksi terutamanya wanita dan warga emas yang mahu ditemani ahli keluarga atau rakan terdekat," katanya kepada Harian Metro.

Kamarudin berkata, pihaknya sudah menghantar rayuan itu kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk pertimbangan segera.

Dakwanya, komuniti pemandu teksi seakan terpinggir dan nasib kurang baik hingga ada yang sudah 'menggantung kunci' kerana tiada pendapatan hampir dua tahun ini.

"Bantu kami untuk menjana pendapatan semula kerana ada yang sudah tidak mampu meneruskan pemanduan kerana kemelut kewangan serius.

"Harap kerajaan dapat pertimbangkan segera dan kami bersedia mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) asalkan kapasiti penumpang dapat ditambah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:34 PM