MOHAMAD Fakhrudin. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Fakhrudin. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tiada unsur khianat atau jenayah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang terlanggar tali di Lebuhraya Sprint berhampiran susur keluar Plaza Tol Damansara, di sini pada 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ia berdasarkan siasatan pihaknya selepas mangsa berusia 28 tahun membuat laporan pada 10.37 pagi, 6 September lalu.

Sebelum itu, pihaknya mengambil maklum rakaman audio tular di media sosial yang mengaitkan kemalangan berkenaan dengan kes cubaan ragut yang menggunakan tali.

"Hasil siasatan, ketika kejadian, penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur ke rumahnya di Meru, Klang.

"Sebaik tiba di lokasi, kira-kira satu kilometer dari susur keluar Plaza Tol Damansara, mangsa terlanggar tali layang-layang yang terputus dan ia mengena mukanya menyebabkan luka di pipi dan bibir.

"Siasatan lanjut yang dibuat tidak menemui unsur jenayah mahupun khianat dalam kejadian itu dan ia hanyalah kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, sehingga kini pihaknya juga tidak menerima laporan berkaitan cubaan ragut dengan memasang atau merentangkan tali tangsi di Terowong Penchala Link seperti ditularkan.

"Dan kemalangan yang berlaku itu sama sekali tidak berkait cubaan ragut seperti didakwa. Namun, kami meminta jika ada mangsa kejadian untuk tampil membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 8:42 AM