GAMBAR HIASAN. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
GAMBAR HIASAN. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Natrah Laili Abdul Aziz dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Petaling Jaya: Polis akan meningkatkan rondaan cegah jenayah dengan menggunakan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pasukan Task Force bagi memastikan kawasan Petaling Jaya selamat terutama bagi mereka yang pulang ke kampung halaman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata seramai 264 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang pelaksanaan Op Selamat Sambutan Aidilfitri 2022 bermula esok hingga 8 Mei ini

Menurutnya, selain membanteras kes pecah rumah dan kecurian motosikal, pihaknya turut memberi tumpuan kepada keselamatan dan aliran trafik di jalan raya di daerah ini.

"Seramai 184 orang pegawai dan anggota di bawah pentadbiran IPD Petaling Jaya akan ditugaskan dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah. Manakala 80 lagi pegawai dan anggota polis trafik akan ditugaskan untuk membuat rondaan serta pemantauan bagi menurunkan jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat Aidilfitri ini

"Op Selamat Aidilfitri akan menjalankan rondaan, pemantauan, dan penguatkuasaan dan juga sekatan jalan raya di kawasan panas yang dikenal pasti," katanya ketika Majlis Pelancaran Op Selamat Aidilfitri di Plaza Tol PJS 2, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata terdapat tiga kawasan 'blackspot' dikenalpasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya.

"Tiga kawasan itu ialah kilometer (km) 2.6 susur Lebuhraya Persekutuan - km 9.7 Star Avenue, sejauh 10.7 km di Jalan Lapang Terbang Subang; Persiaran Surian, di km 5.1 - Persiaran Mahogani sejauh 6.5 km di susur masuk Surian LDP, serta di km 18.0 Empire - km 34.4 Gerbang Darul Ehsan sejauh 11 km Lebuhraya Persekutuan.

"Jumlah kemalangan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini merekodkan sebanyak 4,844 kes iaitu 18 kemalangan maut membabitkan 20 kematian, tiga kes cedera parah, tujuh cedera ringan dan kerosakan sebanyak 4,815 kes," katanya.

Tambahnya, punca peningkatan ini berkemungkinan Malaysia berada di fasa peralihan endemik yang mana sektor dibuka dan kembali beroperasi seperti sedia kala.

Pihaknya turut menyeru kepada rakan kolaborasi yang sedia ada seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), Persatuan Penduduk, Persatuan Keselamatan Komuniti bagi membantu pihak polis dalam mempergiatkan rondaan di sekitar kawasan perumahan bagi mencegah jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:24 PM