TRAFIK sesak susulan SJR di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
TRAFIK sesak susulan SJR di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Dua lagi sekatan jalan raya (SJR) dibuka dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula kelmarin hingga 17 Mei depan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dua SJR berkenaan ditempatkan di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kannagapuram berhampiran Lebuhraya Pantai Baru (NPE).

"Bagi SJR di Lebuhraya Persekutuan, ia dibuka bermula 4 petang hari ini, manakala SJR di Taman Kannagapuram pula dibuka bermula 12.01 tengah malam ini (9 Mei).

"Pada masa sama, empat lagi lokasi SJR iaitu Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang masih terus dibuka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pelaksanaan itu sejajar dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melarang aktiviti rentas daerah atau negeri di kawasan PKP.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak supaya jaringan Covid-19 dapat diputuskan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:26 PM