KHAIRY pada sidang media di KKM. FOTO Bernama
KHAIRY pada sidang media di KKM. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Menerima kenyataan bahawa tiba masanya nanti Covid-19 akan menjadi endemik bukanlah bermaksud negara sudah mengaku kalah dengan pandemik itu.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, rakyat negara ini perlu menerima kepada realiti.

Beliau berkata, dengan adanya varian Delta, saintis seluruh dunia sudah mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak susah disebabkan varian baharu.

"Sebab itulah kita kena terima hakikat bahawa akhirnya adalah ke peringkat endemik dan ini bukan hanya Malaysia sahaja yang kata.

"Singapura juga sudah mengatakan bahawa Covid-19 adalah endemik. Saya rasa tidak ada negara yang akan mengatakan bahawa SARS-CoV-2 ini adalah endemik sudah mengaku kalah terhadap pandemik ini.

"Ia bukanlah mengaku kalah, tetapi realiti. Negara seperti Singapura pun yang pada asalnya melaksanakan pembendungan supaya kesnya sifar juga sudah menerima hakikat bahawa mereka kemungkinan tidak boleh lagi capai kosong kes.

"Australia juga pernah merekodkan tiada kes Covid-19 namun kini menerima untuk hidup bersama virus, sama juga dengan New Zealand," katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, cara virus berevolusi dengan munculnya varian Delta dan mungkin varian lain baru dikesan menyebabkan perlu menerima hakikat kena hidup bersama virus walaupun pada awalnya negara melaksanakan kawalan pergerakan dan pembendungan.

Beliau berkata, penerangan untuk kefahaman kepada orang ramai memerlukan sedikit masa termasuk fakta bahawa vaksinasi semata-mata tidak akan melindungi daripada virus.

"Langkah kesihatan awam lain perlu terus dikekalkan melalui prosedur operasi standard (SOP) lebih mudah difahami dan tidak terlalu rumit.

"Saya sebutkan tadi akhir bulan Oktober tetapi ini banyak bergantung kepada apa yang akan berlaku dalam dua bulan akan datang.

"Andaian saya adalah dengan adanya kadar vaksinasi yang tinggi, pada akhir bulan Oktober kita boleh mula peralihan kepada tahap endemik. Bukannya 31 Oktober kita sudah berada dalam endemik tetapi ketika itu bermulanya transisi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 8:45 PM