PENGGUNAAN istilah endemik dalam situasi Covid-19 tidak bermakna ia sudah berakhir secara alami.
PENGGUNAAN istilah endemik dalam situasi Covid-19 tidak bermakna ia sudah berakhir secara alami.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Pada minggu ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara bakal menempuh fasa peralihan ke endemik bermula 1 April.

Ia antara lain membabitkan pembukaan sempadan negara dan penerima vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka masih mandatori selain penggunaan MySejahtera juga diteruskan.

Perniagaan boleh beroperasi 24 jam dan yang paling menggembirakan saf solat di masjid atau tempat ibadat bukan Muslim tidak lagi perlu mengamalkan penjarakan fizikal.

Pelbagai reaksi diterima dalam kalangan rakyat Malaysia malah, ada yang menganggap Malaysia sudah bebas daripada Covid-19.

Namun, menurut portal Nature, perkataan endemik sering disalah guna dalam situasi pandemik.

Ini kerana penggunaan endemik dalam situasi Covid-19 tidak bermakna ia sudah berakhir secara alami.

Ia bermakna, sesuatu penyakit itu boleh ditakrif sebagai endemik namun, pada masa sama masih menular dan mampu membunuh.

Sebagai contoh, malaria meragut lebih 600,000 nyawa pada 2020 dan lebih 10 juta jatuh sakit dengan 1.5 juta maut akibat tuberculosis atau batuk kering pada tahun sama.

Endemik pastinya tidak bermakna bahawa evolusi berjaya menjinakkan patogen supaya kehidupan kembali normal.

Virus sama boleh menyebabkan jangkitan endemik, wabak atau pandemik - ia bergantung pada interaksi tingkah laku populasi, struktur demografi, kerentanan dan imuniti serta sama ada muncul varian baharu.

Cara terbaik menghalang lebih banyak varian berbahaya atau lebih mudah ditularkan daripada muncul adalah dengan menghentikan penyebaran.

Ia memerlukan campur tangan kesihatan awam bersepadu dengan yang paling penting kesaksamaan pemberian vaksin.

Lebih banyak virus bereplikasi, lebih besar kemungkinan varian baharu timbul, khususnya di kawasan penyebaran tinggi.

Varian Alpha pertama kali dikesan di United Kingdom, Delta pertama kali ditemui di India dan Omicron di selatan Afrika — semua tempat yang penyebarannya berleluasa.

Dalam erti kata lain, dalam fasa endemik, walaupun sesetengah orang masih dijangkiti, ia bukan jumlah yang tidak boleh ditanggung fasiliti kesihatan.

Tanpa mengetahui sama ada terdapat varian lain pada masa akan datang, sebenarnya masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada negara telah mencapai fasa endemik.

Kita di Malaysia seharusnya tidak terlalu gembira dengan pengumuman perdana menteri sehingga mengabaikan langkah keselamatan yang diamalkan dalam tempoh dua tahun ini.

Usahlah ambil ringan pemakaian pelitup muka atau cecair pensanitasi tangan.

Lakukan ujian pengesanan sendiri sekiranya berasa tidak sihat bagi memastikan virus tidak terus menular dalam kalangan keluarga atau rakan terdekat.

Jika kita benar-benar mahu hidup dalam fasa endemik, individu yang boleh mendapatkan vaksin, perlu segera mendapatkan imunisasi terhadap Covid-19.

Usah diharap orang sekeliling semata-mata. Untuk capai sesuatu matlamat kita perlu memberi sumbangan.

Kita juga perlu pegang peralihan ke fasa endemik bukan bermaksud kita benar-benar sudah berada di fasa endemik.

Kita masih hidup dengan Covid-19 dan varian Omicron - yang mungkin bukan varian terakhir bagi Covid-19 - kini masih menggila hinggakan saban hari mendengar ahli keluarga dan rakan terdekat dijangkiti virus ini.

Ingatlah, Covid-19 belum berjaya dijinakkan.


Penulis Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 6:00 AM