INDONESIA meningkatkan kawalan lebih ketat terhadap pergerakan warganya bagi mengekang penularan pandemik yang mencatat lebih 50,000 kes sehari.
INDONESIA meningkatkan kawalan lebih ketat terhadap pergerakan warganya bagi mengekang penularan pandemik yang mencatat lebih 50,000 kes sehari.
Syarifah Dayana Syed Bakri

KITA sudah memasuki separuh kedua tahun 2021 namun pandemik Covid-19 masih belum menampakkan tanda-tanda untuk berhenti.

Akhir tahun lalu, beberapa negara sudah memulakan program vaksinasi besar-besaran dan jejak itu diikuti hampir kesemua negara di seluruh dunia.

Kita juga mula membayangkan bahawa selepas selesainya pemberian vaksin, maka kita semua bolehlah hidup seperti era sebelum pandemik.

Namun, lain pula jadinya apabila varian Delta mula menunjukkan taring.

Beberapa negara yang mula tenang dengan jumlah jangkitan harian nampaknya kini mula merekodkan peningkatan kes baru.

Varian Delta yang pertama kali dikesan di India pada Oktober 2020, mula merebak ke Amerika Syarikat pada Februari 2021.

Pada Jun lalu, ia sudah dikesan di 62 negara dan dalam tempoh dua minggu, ia sudah merebak ke 80 negara.

Berdasarkan angka yang dicatatkan pada awal bulan ini, varian Delta sudah dikesan di 104 negara. Terdapat beberapa negara lagi masih belum mengesahkan sama ada berlakunya jangkitan daripada varian Delta di negara mereka.

Ini bermakna varian ini memang sangat pantas merebak dan boleh mengakibatkan kelumpuhan sistem kesihatan negara.

Indonesia sebagai contoh, sejak kebelakangan mencatatkan lebih 50,000 kes setiap hari dengan angka kematian hampir mencecah 1,000.

Kompas melaporkan kebanyakan hospital tidak lagi menerima pesakit dan ada yang terpaksa menjalani pengasingan kendiri di rumah masing-masing.

Malah, bekalan oksigen juga berada di tahap kritikal selain unit rawatan rapi (ICU) di hospital penuh.

Nikkei Asia melaporkan Indonesia bakal mengatasi India sebagai pusat baharu penularan pandemik Covid-19 di Asia.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Sadikin berkata, kerajaan Indonesia sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peningkatan kes sehingga 30 peratus selama dua minggu berikutnya.

Langkah yang dilakukan termasuk mengubah lebih banyak katil hospital biasa menjadi kemudahan rawatan untuk Covid-19.

Kerajaan Indonesia pada awal tahun ini, menetapkan 30 peratus daripada 400,000 katil hospital untuk rawatan Covid-19, namun ia penuh selepas sambutan Aidilfitri pada Mei lalu gara-gara varian Delta.

Berdasarkan laporan portal Yale Medicine, terdapat lima perkara perlu diketahui mengenai varian Delta.

Pertama, varian Delta lebih mudah merebak dan menjangkiti individu lain dengan pantas.

Kedua, mereka yang tidak dilindungi vaksin berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 daripada varian ini. Kajian terkini dari United Kingdom mendapati kanak-kanak dan orang dewasa berusia kurang 50 tahun adalah 2.5 kali lebih terdedah dengan varian ini.

Ketiga, varian ini boleh menyebabkan 'wabak bersifat hiperlokal' di mana terdapat kawasan yang mencatatkan kadar vaksinasi tinggi sedangkan ada kawasan lain merekodkan kadar vaksinasi rendah.

Keempat, masih terlalu banyak perkara yang tidak diketahui mengenai varian ini kerana ia bermutasi. Maklumat yang diketahui hari ini mungkin tidak lagi boleh diguna pakai pada bulan seterusnya kerana berlaku perubahan.

Kelima, seganas mana pun varian ini menakutkan manusia, vaksinasi masih lagi cara terbaik untuk melindungi diri.

Maka, usahlah berlengah mendapatkan perlindungan diri dengan vaksin. Tidak kira apa jenamanya, ia masih vaksin dan berfungsi untuk mencegah jangkitan menjadi parah.

Janganlah hanya bergantung dengan seperiuk bunga cengkih untuk melindungi diri kerana ia tidak berupaya melawan virus. Tidak salah amalkan cara tradisional namun, janganlah ditolak mentah-mentah kaedah moden.

Kasihanilah anak-anak kita kerana mereka bergantung kepada imuniti kelompok.

Tanpa mengira apa jenis vaksin yang kita terima, kitalah yang bertanggungjawab untuk membina imuniti kelompok ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:59 AM