PETUGAS kesihatan membuat pemeriksaan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu 2.0 di Maeps, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PETUGAS kesihatan membuat pemeriksaan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu 2.0 di Maeps, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Masih terlalu awal untuk Malaysia memasuki tahap endemik Covid-19 kerana kes jangkitan masih tinggi dengan kemunculan pelbagai varian baharu, kata Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar.

Beliau berkata, semua pihak perlu faham istilah sebenar endemik, pandemik, epidemik dan wabak sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Kita masih dalam fasa pandemik, tiada istilah endemik kerana pandemik ini masih tidak habis lagi.

"Belum tiba masanya lagi (endemik) kerana kes jangkitan masih tinggi dan virus ini menular secara berleluasa dalam masyarakat dan seluruh dunia," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, negara kini berdepan kebarangkalian dan kemungkinan untuk menerima varian lain yang mungkin kebal vaksin.

"Penularan wabak ke seluruh negara dipanggil epidemik seperti virus Japanese encephalitis atau JE.

"Apabila sudah menular ke seluruh dunia pula akan bertukar menjadi pandemik seperti yang berlaku sekarang iaitu Covid-19.

"Fasa endemik di Malaysia adalah seperti denggi, masih ada tetapi dalam kapasiti kes yang kecil, tetapi apabila ia menular menjadi 3,000 atau 4,000 kes akan bertukar menjadi epidemik," katanya.

Dr Sazaly berkata, endemik diistilahkan virus yang sentiasa ada dan sukar dihapuskan tetapi dalam jumlah kes yang sedikit.

"Kita masih tidak boleh beralih daripada fasa pandemik berikutan varian Delta masih menular di seluruh dunia.

"Kita bukan boleh suka-suka tukar kepada endemik lebih-lebih lagi kemunculan varian baharu seperti Lambda dan Mu," katanya.

Katanya, beliau perlu memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan apabila Malaysia memasuki fasa endemik, negara akan berada dalam fasa lebih baik.

"Salah tanggapan sebegini, endemik itu adalah fasa kita perlu berjaga-jaga dan bukan sesuatu yang lebih baik.

"Kita tidak boleh isytihar endemik sekiranya satu dunia masih lagi bergelut untuk menghapuskan Covid-19.

"Sekiranya satu dunia tiada Covid-19 dan hanya tempat tertentu saja ada, ini boleh dipanggil endemik, walaupun makan masa bertahun-tahun untuk dihapuskan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu bersedia dan menerima hakikat virus ini akan sentiasa ada seperti penyakit denggi.

"Denggi yang dulu diisytihar sebagai wabak kemudian menular dalam masyarakat, sehinggalah diisytihar endemik kerana kes semakin berkurang tetapi susah untuk dihapuskan.

"Disebabkan itu, kita masih tidak boleh isytihar negara memasuki fasa endemik kerana kes kita masih tinggi dengan jumlah kematian masih meningkat.

"Saya rasa tiada negara lain yang berani untuk isytihar endemik, contoh Israel dan United Kingdom yang walaupun kadar vaksinasi melebihi 90 peratus, namun masih berdepan dengan lonjakan kes jangkitan baharu," katanya.

Katanya, orang ramai perlu menjalani kehidupan norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kita masih perlu memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, memastikan pengaliran udara yang baik di tempat kerja.

"Jadi tiada fasa endemik selagi penularan berlaku di seluruh dunia dan kes masih tinggi," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik Covid-19 dijangka hujung Oktober ini.

Peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Rakyat perlu menerima konsep hidup bersama virus meskipun negara berjaya mengawal pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 4:57 PM