PEMAKAIAN pelitup muka, penjarakan fizikal, kawalan khalayak dan pengudaraan yang lebih baik perlu terus dilaksanakan di kawasan aktif jangkitan.
PEMAKAIAN pelitup muka, penjarakan fizikal, kawalan khalayak dan pengudaraan yang lebih baik perlu terus dilaksanakan di kawasan aktif jangkitan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SUKA atau tidak, masyarakat perlu menerima hakikat bahawa kita semua perlu menjalani kehidupan bersama-sama virus Covid -19.

Perkataan 'pandemik' sudah tidak lagi menimbulkan perasaan gerun kerana virus itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita pada hari ini.

Menurut Pro Naib Canselor Penyelidikan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) yang juga Pengarah Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI) IMU, Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, seperti yang sedia maklum, negara kini berada di landasan betul untuk beralih ke fasa endemik pada penghujung bulan ini.

Kata beliau, meskipun bakal memasuki fasa endemik, tetapi ia tidak bermakna virus Covid-19 akan pupus kerana ia tetap ada bersama-sama masyarakat dan terus menular.

"Namun, itu tidak bermakna masa depan suram, sebaliknya peralihan pandemik kepada endemik itu merujuk kepada sejumlah besar masyarakat yang semakin imun kepada virus berkenaan iaitu bekas pesakit Covid-19 yang dijangkiti secara semula jadi dan sembuh serta mereka sudah divaksinasi.

"Apabila tidak ramai orang dijangkiti, maka jumlah kes menurun, justeru vaksin menjadi medium utama dalam memastikan tahap keimunan orang ramai berada pada tahap yang tinggi dan ketika itu peralihan dari fasa pandemik ke endemik boleh dilaksanakan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Lokman Hakim berkata, data dari seluruh dunia menunjukkan penurunan jumlah kes serius selepas pelaksanaan suntikan vaksin dan perkembangan itu dapat mempercepatkan proses masyarakat memasuki fasa endemik.

Namun kata Dr Lokman Hakim, perlu diingat, kadar vaksinasi bukan satu-satunya petunjuk keendemikan.

"Untuk berada dalam fasa endemik, angka jangkitan perlu berada pada tahap yang 'boleh diterima' atau 'boleh dikawal.'

"Itu bermaksud ia tidak lagi menjadi satu isu besar kepada pihak hospital kerana pada fasa endemik, angka jangkitan adalah rendah, tidak ramai yang perlu dimasukkan ke hospital dan jumlah kematian juga rendah," katanya.

Jelas Dr Lokman Hakim lagi, tahap 'boleh diterima' pula adalah satu situasi yang kompleks dan dinamik kerana banyak faktor boleh mempengaruhi keadaan itu antaranya kekuatan serta jangka masa perlindungan imun masyarakat, kebolehjangkitan virus, keupayaan penjagaan kesihatan dalam menguruskan jangkitan selain persediaan intervensi kesihatan awam.

"Selain itu, ia turut mengambil kira sikap orang ramai kerana tingkah laku masyarakat yang akan menentukan sama ada jangkitan terus menular atau dapat dikawal," katanya.

Menurut Dr Lokman Hakim lagi, setakat ini masih tiada tahap ketetapan universal dalam perkara itu memandangkan setiap negara memiliki variasi tersendiri dan mereka juga perlu menganalisis situasi selain menentukan kriteria keendemikan sendiri.

"Kita perlu bertanya kepada diri masing-masing, pada tahap apa kita akan berasa selesa, kita sudah berada di tahap mana dan apakah dengan memasuki fasa endemik itu bermaksud kita sudah sampai ke penghujung jalan dan memenangi peperangan ini?

"Malangnya, tidak sama sekali. Sebagaimana mudahnya kita memasuki fasa endemik, maka semudah itu juga kita boleh kembali ke fasa pandemik kerana varian baharu boleh melonjakkan balik jumlah kes jangkitan ke kadar yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Dr Lokman Hakim turut memberikan contoh bagaimana varian Delta menyebabkan kes jangkitan Covid-19 kembali meningkat di beberapa negara serta pemantauan teliti pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kemunculan varian baharu seperti Lambda dan Mu.

VIRUS Covid-19 tidak pupus begitu sahaja kerana ia tetap ada bersama-sama masyarakat dan terus menular.
VIRUS Covid-19 tidak pupus begitu sahaja kerana ia tetap ada bersama-sama masyarakat dan terus menular.

Kata beliau, disebabkan ketidaksaksamaan akses kepada vaksin Covid-19 di seluruh dunia, sebahagian besar populasi global masih mudah terdedah kepada jangkitan virus berkenaan.

"Kemunculan varian yang sangat mudah berjangkit itu boleh mencetuskan epidemik baharu kerana ia boleh melarat menjadi pandemik secara global," katanya.

Beliau turut memberikan gambaran bagaimana kehidupan dengan Covid-19 sebagai endemik, kelak.

"Cuba fikirkan Covid-19 ini seperti denggi dan malaria yang mana kedua-duanya adalah endemik di negara kita. Laporan kes adalah kerap setiap tahun," katanya.

Menurut Dr Lokman Hakim, beberapa negara seperti New Zealand sudah mengamalkan strategi sifar Covid-19 dengan harapan untuk menghentikan jangkitannya.

Antara strategi yang diambil adalah dengan mengenakan perintah berkurung dan had perjalanan yang ketat bertujuan untuk menghapuskan terus virus terbabit.

Namun, kebanyakan negara sudah menerima hakikat bahawa intervensi kesihatan sahaja tidak dapat menghentikan jangkitan Covid-19.

"Pada tahap endemik, kita perlu memberi tumpuan kepada tanggungjawab orang awam untuk membantu mengawal penyakit ini.

"Orang ramai perlu terus dididik mengenai peri pentingnya penilaian dan pengurusan risiko supaya mereka dapat bertindak dengan berkesan bagi meminimumkan risiko dijangkiti dan menjangkiti orang lain," katanya.

Sementara itu, meskipun sudah memasuki fasa endemik, namun masyarakat perlu sentiasa berwaspada bahawa epidemik masih berlaku.

Masyarakat juga perlu melihat kepada statistik kes harian dengan cara baharu dan memberi perhatian khusus kepada kes berisiko tinggi berbanding jumlah kes yang dijangkiti.

Menyentuh isu suntikan dos penggalak pula, Dr Lokman Hakim berkata, ia bergantung kepada keberkesanan vaksin dan pola jangkitan epidemiologi dalam populasi tertentu iaitu bagaimana virus itu merebak dan apakah faktor yang mempengaruhi penyebarannya.

Ia memandangkan risiko jangkitan tidak sama di semua kawasan dan negara.

Untuk itu, tegas beliau, setiap negara perlu menjalankan kajian mengenai pola jangkitan di negara masing-masing dan prestasi vaksin yang digunakan.

"Kita perlu memahami keadaan kita sendiri dan membuat keputusan sama ada kita memerlukan dos penggalak, bila dan seberapa kerap.

"Banyak negara yang belum mencapai liputan vaksinasi yang sewajarnya, sedangkan negara maju sudah mula mengumpulkan vaksin dos penggalak," katanya.

Beliau berkata, jangkitan masih berlaku dan langkah-langkah penjagaan kesihatan awam masih perlu diteruskan.

Katanya, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kawalan khalayak dan pengudaraan yang lebih baik perlu terus dilaksanakan di kawasan aktif jangkitan.

"Benar, hidup perlu diteruskan dan fasa endemik ini akan membantu kita mengharunginya.

"Tapi ingat, hingga kita lebih memahami penyakit ini, maka kita hendaklah terus berjaga-jaga dan jangan sesekali terleka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:02 AM