Lajim Ukin. FOTO Arkib NSTP
Lajim Ukin. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pemergian Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin adalah kehilangan besar kepada negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya menyatakan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.

"Allahyarham adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang sangat dihormati kerana dedikasi tinggi serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

"Selain pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pengangkutan, Allahyarham juga adalah Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi Kilas dan Ahli Parlimen Beaufort.

"Justeru, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada negara dan Bersatu terutamanya dalam kalangan ahli-ahli MPT dan Badan Pimpinan Negeri Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Lajim yang dirawat akibat jangkitan Covid-19, sejak kira-kira dua minggu lalu, meninggal dunia pagi tadi.

Beliau dilaporkan meninggal dunia pada 6.23 pagi tadi di Hospital KPJ, di sini, dan berita pemergian itu disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:14 PM