Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Rakyat Sabah kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Beaufort berikutan pemergian Datuk Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19, pagi tadi.

Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau yakin jasa bekas Ahli Parlimen Beaufort itu akan sentiasa dikenang dan dirindui rakyat terutama di daerah Beaufort yang sangat mengenali beliau sebagai seorang pemimpin yang baik.

"Sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Beaufort sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias dan Ahli Parlimen Beaufort," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, sumbangan Lajim dalam pembangunan di negeri ini juga tidak boleh dinafikan, berdasarkan pembabitannya dalam pentadbiran negeri sebelum ini.

Katanya, Lajim banyak menyumbang kepada pembangunan Sabah ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri, selain memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri.

"Beliau juga pernah menyumbang kepada Kerajaan Persekutuan ketika menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2008 hingga 2012," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, beliau turut merasai kehilangan Lajim kerana Allahyarham adalah sahabat rapatnya yang bersama dalam barisan kepemimpinan tertinggi Persatuan Belia Kebangsaan Sabah (Sanya) satu ketika dulu.

Lajim juga katanya pernah bersama-sama beliau dalam kepemimpinan Umno sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno ketika bekas Adun Klias itu masih bersama Umno sehingga 2012.

"Pemergian beliau hari ini menyebabkan saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Saya bersama keluarga dan kepemimpinan Umno Sabah merakamkan ucapan takziah kepada isterinya, Datin Normilah Siong serta seluruh ahli keluarga Allahyarham.

"Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga," katanya.

Lajim, 66, menghembuskan nafas terakhir pada 6.23 pagi tadi di Hospital KPJ Sabah, selepas dirawat lebih dua minggu di hospital berkenaan akibat jangkitan Covid-19.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

Jenazah Lajim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kebatu, Beaufort pada jam 1.50 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:29 PM