JENAZAH Allahyarham Lajim dibawa masuk ke dalam van jenazah untuk disemadikan di Kampung Kebatu, Beaufort, hari ini.  FOTO Mohd Adam Arinin.
JENAZAH Allahyarham Lajim dibawa masuk ke dalam van jenazah untuk disemadikan di Kampung Kebatu, Beaufort, hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Datuk Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19 pagi hari ini disifatkan sebagai seorang pemimpin yang sangat berjasa dan banyak menyumbang masa serta berkongsi nasihat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Lajim sering berkongsi nasihat yang baik kepada parti.

Beliau turut menyifatkan Lajim sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan kawan yang baik.

"Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada Datin Normila Siong dan keluarga Allahyarham Datuk Lajim atas kehilangan suami dan orang yang tersayang.

"Datuk Lajim adalah pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan yang baik serta banyak menyumbang kepada negeri dan negara sepanjang karier politiknya.

"Sebagai Ahli MPT Bersatu, Lajim adalah seorang pemimpin yang sangat berjasa, banyak menyumbangkan masa dan sentiasa berkongsi nasihat yang baik kepada parti," katanya.

Lajim, 66, meninggal dunia pada 6.23 pagi di Hospital KPJ Sabah dan jenazahnya dibawa balik ke kampung halamannya di Kampung Kaundo, Kebatu, Beaufort untuk dikebumikan, hari ini.

Lajim sebelum itu dirawat di Hospital KPJ Sabah sejak 13 Ogos lalu dan ditidurkan sejak Selasa lalu selepas keadaan kesihatannya didapati merosot.

Sepanjang hayatnya, Lajim pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah (1999-2004) dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri (1995-1999).

Ketika itu, Lajim menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias yang disandangnya sejak 1985 hingga 2008 sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Beaufort (2008-2013) dan kembali menjadi Adun Klias dari 2013 hingga 2018).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (2008-2009) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2009-2012).

Lajim memulakan kerjaya politik selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 dan kekal dalam parti itu sehingga 1994.

Pada 1994, Lajim bersama beberapa pemimpin PBS yang lain, antaranya Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang menyertai UMNO untuk mengembalikan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Ketika bersama Umno, Lajim pernah menjadi Ketua Umno Beaufort dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno sebelum mengumumkan keluar daripada parti itu pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 2:04 PM