CHE Ismail (kiri) ditemani Mohd Jailani hadir ke PPV Integrasi UniSZA di Kuala Nerus, hari ini. FOTO Bernama
CHE Ismail (kiri) ditemani Mohd Jailani hadir ke PPV Integrasi UniSZA di Kuala Nerus, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Nerus: Kerinduannya untuk kembali solat berjemaah di masjid menyebabkan warga emas berusia 101 tahun, Che Ismail Che Tahir akhirnya bersetuju untuk menerima vaksin Covid-19.

Che Ismail yang tinggal di Kampung Gong Kijang, di sini, hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditemani cucunya, Mohd Jailani Harun, 52, dan dua cicit, hari ini.

Mohd Jailani berkata, datuknya sudah mendapat janji temu vaksin ketika fasa pertama untuk warga emas dibuka, namun belum bersedia ketika itu disebabkan kurang pendedahan mengenai kepentingan vaksin.

"Kami tidak berputus asa untuk memujuk tokki (datuk) mendapatkan vaksin demi kesihatannya. Antara kelebihan apabila lengkap dua dos vaksin ialah dapat berjemaah di masjid dan surau, jadi kami terangkan perkara itu kepada tokki.

"Akhirnya tokki setuju dan kebetulan pula saya ternampak di Facebook (FB) dua hari lalu bahawa UniSZA memberi peluang untuk individu yang belum mendapat vaksin agar datang secara 'walk in' ke sana. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Che Ismail adalah penerima vaksin tertua di PPV itu hari ini dan menerima dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech, tetapi tidak dapat ditemu bual kerana masalah pendengaran.

Sementara itu, Pengarah PPV Integrasi UniSZA, Prof Dr Nik Arif Nik Mohamed berkata, selain warga emas, keutamaan untuk 'walk in' atau tanpa janji temu diberi kepada wanita hamil, Orang Kurang Upaya (OKU) dan individu terlepas tarikh janji temu vaksin kerana kekangan tertentu.

"Sejak dibuka dua hari lalu, sambutan memang amat menggalakkan. PPV Integrasi UniSZA turut menyediakan 20 unit khemah, 400 kerusi di luar dewan dan 600 kerusi di dalam dewan bagi menampung pertambahan itu.

"Jumlah petugas di PPV ialah 250 orang untuk dua syif iaitu pagi dan petang. Ia mencukupi untuk memenuhi peningkatan penerima vaksin dan kami memastikan mereka patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sepanjang proses vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 5:57 PM