Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) sudah mengenalpasti 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Intergrasi di seluruh negara untuk memberikan suntikan vaksin secara 'walk-in' bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pengerusi CITF-A, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, bagaimanapun pemberian vaksin secara 'walk-in' kepada remaja ini hanya akan bermula pada Khamis ini.

Katanya, pelaksanaan kaedah 'walk-in' berjadual akan dilakukan mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti dan akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

"Jadual akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa. Kaedah 'walk-in' ini membabitkan semua kategori remaja termasuk mereka yang tidak bersekolah.

"Bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan untuk walk-in di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman. Bagaimanapun sekiranya kuota vaksin di PPV itu habis untuk hari berkenaan, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat beberapa kaedah akan digunakan bagi mempercepatkan proses vaksinasi bagi remaja iaitu secara jangka luar (outreach) iaitu ke sekolah atau institusi berjadual.

Katanya, bagi remaja yang akan menduduki peperiksaan utama dan bersekolah di sekolah asrama penuh atau asrama harian, janji temu dos pertama vaksin Covid-19 akan diberikan di klinik atau sekolah yang berhampiran tempat tinggal mereka, manakala vaksin dos kedua akan diberi di sekolah.

Selain itu, remaja dengan komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka dan bagi yang gagal hadir semasa janji temu di sekolah, akan diberi janji temu di klinik kesihatan swasta yang berdekatan melalui aplikasi MySejahtera.

PETUGAS pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya memasuki vaksin ke dalam picagari sebelum disuntik pada pelajar pada PICK Remaja di PPV Dewan Canselor MSU, Shah Alam. FOTO Owee Ah Chun
PETUGAS pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya memasuki vaksin ke dalam picagari sebelum disuntik pada pelajar pada PICK Remaja di PPV Dewan Canselor MSU, Shah Alam. FOTO Owee Ah Chun

Sementara itu, Dr Noor Azmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan 1 itu berkata, bagi remaja yang menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) atau swasta (IPTS) yang berumur bawah 18 tahun dibenarkan untuk 'walk-in' di semua PPV sedia ada dengan hanya menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA atau IPTS.

"Ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka.

"Bagi pelajar yang sudah mendapatkan tarikh vaksinasi di sekolah, mereka perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang sudah ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, sebagai langkah mengelak berlakunya kesesakan di PPV, beliau memaklumkan hanya seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk tujuan vaksinasi.

"Selain itu, kita turut menasihatkan ibu bapa memastikan remaja yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan mengambil air secukupnya sebelum ke PPV.

"Ibu bapa perlu mengawasi remaja supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh tujuh hari selepas pemvaksinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 3:42 PM