Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Selepas diumumkan warga emas di Pulau Pinang yang tidak mendaftar dan belum menerima temujanji suntikan imunisasi boleh mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara 'walk in' mulai hari ini mendorong seorang wanita berusia satu abad tampil berbuat demikian.

Che Ah Taib berusia 100 tahun yang ditemani anak lelakinya, Salim Saad, 63, ke PPV Dewan Millenium, di sini kelihatan gembira dan tersenyum selepas selesai menerima suntikan vaksin yang dilakukan secara pandu lalu.

Menurut Salim, dia lega selepas ibunya diberikan suntikan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri daripada dijangkiti wabak Covid-19.

"Saya sudah mendaftarkan ibu saya dalam program imunisasi ini sejak sebulan lalu tetapi tiada temujanji diberikan lagi.

"Apabila dimaklumkan mana-mana warga emas boleh hadir secara 'walk in', saya beritahu kepada ibu dan dia sangat teruja kerana nak sangat terima suntikan vaksin ini.

"Walaupun ibu saya tidak mempunyai apa-apa penyakit tetapi perlindungan vaksin amat perlu tambahan pula dia dikategorikan dalam golongan berisiko," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelas Salim, sebelum itu dia sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 manakala isterinya pula sudah lengkap menerima dua dos yang menyebabkan ibunya juga tidak sabar untuk mendapatkan vaksin.

Difahamkan, sebanyak 250 dos suntikan vaksin disediakan di PPV Dewan Millenium, di sini untuk golongan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang hadir secara 'walk-in' hari ini.

Dalam pada itu, rata-rata warga emas yang hadir menerima suntikan vaksin secara 'walk in' memaklumkan bahawa mereka mengetahui perkara berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

Mohd Adam Ahmad, 66, berkata sejurus mengetahui perkara berkenaan dia mencuba nasib untuk hadir dan bersyukur semuanya berjalan lancar.

"Saya sudah mendaftar di dalam MySejahtera tetapi belum terima temujanji. Apabila baca boleh 'walk in' saya pun cuba nasib dan bersyukur selesai terima dos pertama hari ini," katanya.

Selain PPV Dewan Milenium, tiga lagi lokasi di Pulau Pinang yang turut menawarkan pemberian vaksin secara 'walk-in' untuk warga emas ialah di Dewan SP Arena di Seberang Perai Tengah, Dewan Serbaguna Jawi di Seberang Perai Selatan dan Pusat Konvensyen SPICE di Bayan Lepas untuk daerah Timur Laut serta Barat Daya yang akan bermula esok.

Warga emas Che Ah Taib yang  berusia 100 tahun menerima suntikan vaksin COVID-19 secara pandu lalu ketika hadir dibawa anak lelakinya, Salim Saad, 64, secara  'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium di Kepala Batas. FOTO DANIAL SAAD
Warga emas Che Ah Taib yang berusia 100 tahun menerima suntikan vaksin COVID-19 secara pandu lalu ketika hadir dibawa anak lelakinya, Salim Saad, 64, secara 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium di Kepala Batas. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 4:23 PM