Kontena penyimpanan jenazah Covid-19. FOTO ARKIB NSTP
Kontena penyimpanan jenazah Covid-19. FOTO ARKIB NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan RM48,000 untuk membantu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menyediakan kontena khas bagi menempatkan jenazah pesakit Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Rozi Bidin berkata, pihaknya hanya meluluskan peruntukan untuk kos penyewaan kontena khas bagi menempatkan jenazah pesakit Covid-19 berjumlah RM8,000 sebulan selama enam bulan.

"Urusan penyewaan dan jenis kontena khas itu kita serahkan kepada pengurusan HSNZ.

"Kita dimaklumkan, kontena khas itu diperlukan pengurusan HSNZ untuk menempatkan jenazah pesakit Covid-19 sebelum urusan pengebumian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

M Rozi berkata, kontena khas itu juga bertujuan untuk pengasingan antara jenazah pesakit Covid-19 dengan pesakit yang meninggal dunia disebabkan penyakit lain.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong ketika dihubungi berkata, kontena khas untuk jenazah pesakit Covid-19 itu diperlukan sebagai persediaan awal.

Katanya, jumlah kes kematian disebabkan wabak itu di negeri ini masih dalam keadaan terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:11 PM