Berikutan pertambahan kematian akibat Covid-19, pihak perkhidmatan perubatan forensik menyediakan kontena khas khusus sama ada untuk mayat pesakit Covid-19 atau bukan Covid-19 di lima hospital. FOTO Ihsan CPRC KKM
Berikutan pertambahan kematian akibat Covid-19, pihak perkhidmatan perubatan forensik menyediakan kontena khas khusus sama ada untuk mayat pesakit Covid-19 atau bukan Covid-19 di lima hospital. FOTO Ihsan CPRC KKM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri sedia menyewa dua kontena khas selama enam bulan membabitkan kos RM48,000 setiap unit sekiranya peti mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tidak lagi mampu menampung jenazah pesakit Covid-19.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu masih dalam perancangan berikutan 18 peti simpanan mayat HSB masih mampu menampung jumlah jenazah, namun persediaan ke arah itu perlu dilakukan.

"Sekiranya berlaku kematian yang tinggi dalam masa terdekat mungkin kita terpaksa menyewa kontena ini yang setiap unit mampu menempatkan 12 jenazah. Ini kerana pengurusan jenazah Covid-19 mengambil masa yang lama dengan pelbagai proses.

"Petugas untuk menguruskan jenazah Covid-19 pun agak terhad dan memerlukan pakaian perlindungan diri (PPE) yang sesuai dan kadang-kadang menyebabkan peti mayat ini penuh, jadi kita perlu bersedia," katanya pada sidang media secara dalam talian, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 54.8 peratus daripada kes Covid-19 di Kedah dikesan melalui saringan kontak rapat diikuti 19.3 peratus saringan bergejala, 17.9 peratus saringan kluster, 4.3 peratus saringan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 3.7 peratus saringan kendiri.

Katanya, setakat ini sebanyak 93 kematian dicatatkan membabitkan enam di Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Padang Terap, Pendang dan Yan.

"Penggunaan katil di hospital seluruh Kedah mencapai tahap 93 peratus manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di HSB, Hospital Kulim serta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) mencecah 86 peratus.

"Pada masa ini, seramai 2,227 individu yang disahkan positif bagi tahap satu dan dua sedang menjalani rawatan di rumah. Kebanyakan mereka berada di Kuala Muda," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sehingga kini seramai 107,457 rakyat Kedah sudah menerima satu dos vaksin dengan 63,746 pula sudah melengkapkan dua dos suntikan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membelanjakan antara RM350,000 hingga RM400,000 untuk tujuan penambahan ujian saringan Covid-19 secara bersasar oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

"Kita anggar boleh tambah 200 hingga 300 ujian saringan sehari dalam masa dua minggu ini yang akan dikendalikan klinik swasta di kawasan sasaran yang dikenal pasti JKN, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 5:56 PM