GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Dua lagi hospital di Kedah memerlukan kontena sebagai persediaan menempatkan mayat pesakit Covid-19 berikutan penularan virus itu yang semakin meningkat di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo berkata, dua hospital berkenaan ialah Hospital Baling dan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi yang kini hanya mempunyai beberapa peti mayat sahaja.

Katanya, pada masa ini tiga hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Kulim masing-masing sudah mempunyai sebuah kontena untuk tujuan itu, hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO).

"Namun di HSB kita perlu sediakan sebuah lagi kontena tambahan berikutan sebuah kontena sebelum ini hanya mampu menempatkan 20 jenazah pesakit Covid-19.

"Sudah ada beberapa pihak yang bersetuju untuk memberi sumbangan kontena sejuk beku ini, kita akan agihkan mengikut keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega ,di Amanjaya Sports Arena, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata, berikutan kes pesakit Covid-19 yang semakin meningkat di Kedah, pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk menghantar pesakit Covid-19 di negeri ini ke hospital medan di Kepala Batas, Pulau Pinang sekiranya terdapat keperluan kelak.

Katanya, hospital medan berkenaan sudah menyatakan kesediaan untuk membantu berikutan hospital itu mampu menampung pesakit kategori empat dan lima dan ia satu berita baik untuk Jabatan Kesihatan Kedah.

"Di dalam wad unit rawatan rapi (ICU) di HSB, HSAH dan Hospital Kulim khas untuk merawat pesakit Covid-19 sekarang, kita ada 96 katil, sebanyak 90 hingga 94 katil digunakan.

"Ini kerana pesakit di ICU akan mengambil masa lama iaitu secara puratanya 21 hari untuk kembali stabil sebelum ditempatkan ke wad biasa. Jadi ICU kita sentiasa hampir penuh.

"Bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital juga sentiasa bertambah iaitu untuk kategori empat sahaja mencapai 60 peratus manakala kategori lima antara 15 hingga 20 peratus.

"Jadi kita akan berbincang dengan JKN Pulau Pinang dan hospital medan berkenaan sekiranya perlu hantar pesakit ke sana nanti," katanya.

Sementara itu, Dr Othman memberitahu kes penularan Covid-19 di negeri ini sudah sukar diketahui puncanya berikutan virus itu sudah berada dalam kalangan masyarakat.

Katanya, keadaan itu sangat membimbangkan pihaknya.

"Peningkatan kes di negeri ini berpunca daripada kontak rapat diikuti daripada saringan bergejala, daripada situ kita dapat gambaran bahawa jangkitan ini sudah ada dalam masyarakat, maknanya kita sudah tidak dapat kenal pasti sama ada kes baharu itu ada hubungan dengan kluster yang lain.

"Jadi virus ini memang ada di mana-mana, cuma kita dapat kesan atau tidak, nasihat saya kepada orang ramai, patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 3:14 PM