GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kulim: Hospital Kulim hari ini menerima sumbangan sebuah kontena sejuk beku bagi mengatasi masalah penyimpanan mayat ekoran peningkatan kes kematian akibat Covid-19.

Kontena yang mampu memuatkan 40 mayat itu disumbangkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Padang Serai dengan kerjasama syarikat Maritime Network Sdn Bhd.

Naib Presiden MIC, yang juga Penyelaras Parlimen Padang Serai, Datuk Sivarraajh Chandran menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah Hospital Kulim Dr Fauziah Abdul Wahab.

"Kita terpanggil untuk membantu hospital ini selepas mengetahui masalah yang dihadapi mereka untuk menempatkan mayat apabila kes kematian akibat Covid-19 semakin meningkat.

"Diharapkan kontena ini, yang berharga RM60,000 tidak termasuk kos pengangkutan, dapat membantu meringankan masalah pihak hospital dalam menguruskan jenazah," kata Sivarraajh ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Fauziah merakamkan penghargaan kepada pihak terbabit atas sumbangan kontena itu yang amat diperlukan.

"Kita ada lapan sahaja peti mayat, memang tak cukup, jadi kita memang perlu kontena ini.

"Semua mayat pesakit Covid-19 akan diletakkan di dalam kontena ini, manakala peti mayat sedia ada akan ditempatkan mayat pesakit bukan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 9:08 PM