Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seorang pemancing hilang di perairan Pantai Sabak ketika mencandat sotong sejak empat hari lalu.

Pencarian Mohd Rafi Omar, 37, memasuki hari kedua selepas laporan kehilangannya dibuat kakaknya, Zakiah Omar, 51, pagi semalam berikutan mangsa tidak pulang selepas keluar rumah pada jam 11.59 malam, 18 Ogos lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pencarian mangsa dilakukan sekitar 67.35 batu nautika persegi dari jeti Pulau Gajah di sini.

"Kami menggunakan kapal KM Tok Bali manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan bot masing-masing dan kekuatan yang terbabit adalah seramai 25 anggota.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga dibantu oleh komuniti nelayan menggunakan enam bot dengan sektor pencarian menjurus kepada tepi pantai dan lokasi yang dikatakan mangsa sering berada," katanya hari ini.

Mohd Rafi dilaporkan keluar seorang diri dengan menaiki bot fiber miliknya untuk mencandat sotong dan keluarga membuat laporan selepas tiga hari lelaki itu tidak pulang.

Bagaimanapun difahamkan pada malam Khamis, mangsa yang berasal daripada Kemumin di sini, dilihat oleh beberapa rakan nelayan lain kira-kira 34 kilometer dari muara Kuala Senok, Bachok, dekat sini, yang mengajaknya pulang namun ditolak oleh mangsa dengan alasan ingin memperoleh sotong dengan lebih banyak.

Syed Nor Adli berkata, setakat dua hari misi SAR, tiada sebarang petunjuk ditemukan malah menolak kehilangan mangsa ada kaitan dengan cuaca kerana beberapa hari kebelakangan ini, cuaca dalam keadaan baik.

"Setakat ini misi SAR tidak berdepan dengan apa-apa halangan kerana cuaca juga agak baik dan kita harap ia akan terus berjalan lancar.

"Memandangkan sekarang sudah memasuki musim monsun timur laut, saya menasihatkan orang ramai terutama nelayan yang ingin turun ke laut agar menitikberatkan keselamatan dan menjalankan langkah waspada dengan menyediakan segala kelengkapan diri dan bot bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini," katanya.

SYED Nor Adli melihat lokasi pencarian mangsa yang dilaporkan hilang ketika mencandat sotong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SYED Nor Adli melihat lokasi pencarian mangsa yang dilaporkan hilang ketika mencandat sotong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:22 PM