Oleh Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Aku ni balik ke dok tok tahu," kata Mohd Rafi Omar. 37, kepada rakan nelayannya sebelum hilang di perairan Pantai Sabak di sini, sejak empat hari lalu.

Mohd Rafi berkata demikian ketika disapa beberapa rakan nelayan yang mengajaknya pulang ketika ditemui di muara Kuala Senok malam Khamis lalu.

Kakaknya, Zakiah Omar, 51, berkata kata-kata itu seolah memberi bayangan berlaku perkara yang tidak elok sebelum adiknya itu hilang di laut namun enggan memikirkan perkara yang bukan-bukan sebaliknya masih berharap dia ditemui dengan selamat.

Zakiah berkata, Mohd Rafi keluar dari rumahnya pada jam 11.59 malam Rabu lalu untuk mencandat sotong seorang diri dengan menaiki bot fiber miliknya melalui jeti Pulau Gajah di sini.

"Rafi sebenarnya baharu pulang ke rumah dari laut pada hari yang sama sebelum keluar semula kerana melihat hasil tangkapan sotong yang diperoleh abangnya sangat banyak.

"Sebab itu dia turun semula ke laut kerana tangkapan sebelumnya agak kurang dengan harapan dapat membawa pulang hasi melebihi 50 kilogram seperti abangnya," katanya ketika ditemui di jeti Pulau Gajah di sini, hari ini.

Zakiah berkata, pada malam Khamis lalu, adiknya itu ditemui sekumpulan nelayan kira-kira 34 kilometer dari muara Kuala Senok, Bachok di dekat sini.

Menurutnya lagi, beberapa rakan nelayan mengajaknya pulang namun ditolak dengan baik sebaliknya turut berkongsi dua buku roti miliknya kepada rakan lain sebelum ditinggalkan berseorangan.

"Dia (Rafi) tidak pernah pulang lebih daripada 24 jam dan disebabkan kelewatan luar biasa itu, saya tampil membuat laporan polis pada pagi semalam," katanya.

Zakiah berkata, adiknya itu sudah biasa turun ke laut dan tidak menjangkakan sesuatu yang buruk berlaku lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang baik dan keadaan bot juga sering diperiksa.

Katanya lagi, ahli keluarganya juga turut mengadakan solat hajat dengan harapan Mohd Rafi ditemui dengan selamat walau sehingga kini masih belum ditemukan sebarang petunjuk.

"Tak pernah lagi Rafi tidak pulang lebih daripada dua hari seperti ini dan kami semua sangat risaukan keselamatannya. Semoga dia ditemui dengan segera," katanya.

ANTARA kawasan yang dipercayai nelayan hilang.
ANTARA kawasan yang dipercayai nelayan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 1:08 PM