DATUK Shafein Mamat  (kiri) hadir memantau operasi percarian kejadian tiga pemancing hilang di laut selepas bot yang dinaiki terbalik dipukul ombak di Perairan Kuala Besar Badang, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Shafein Mamat (kiri) hadir memantau operasi percarian kejadian tiga pemancing hilang di laut selepas bot yang dinaiki terbalik dipukul ombak di Perairan Kuala Besar Badang, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tiga pemancing yang hilang di laut dipercayai menaiki salah sebuah daripada lima bot untuk memancing dan mencandat sotong di jeti Kampung Keseng, Kuala Besar, malam tadi.

Namun, bot yang dinaiki Mat Harun Mohd Nor, 54, Mat Bin Awang @ Jali, 55, dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26, dikatakan terbalik akibat dipukul ombak di perairan Kuala Besar Badang.

Saksi kejadian, Nik Amran Nik Hussin, 42, berkata dia bersama 14 pemancing menaiki bot masing-masing ke jeti berkenaan pada 5 petang semalam.

Menurutnya, mereka menaiki lima bot dan tiga mangsa yang masih hilang itu berada dalam satu bot besar.

Katanya, ketika bertolak keadaan cuaca memang mendung dan mulai buruk menjelang malam.

"Hujan lebat disertai angin kencang dan laut juga bergelora menyebabkan situasi semakin genting dan kira-kira jam 8.30 malam tadi bot yang dinaiki mereka bertiga terbalik.

"Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan kami nampak dua daripada mereka berpegang di penjuru bot, manakala Bob (Zulshahmi) sudah hilang," katanya ketika ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, hari ini.

Nik Amran berkata, dalam keadaan huru hara dan gelap, mereka hanya mampu menyelamatkan diri kerana bot yang dinaikinya turut dimasuki air.

Katanya, dia sempat melemparkan tali sauh ke arah bot yang hampir karam itu, namun gagal disebabkan ombak sangat tinggi sebelum bot itu hilang.

"Sebaik cuaca reda, kami memutuskan untuk kembali ke darat dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Mereka bertiga pernah beberapa kali keluar ke laut untuk memancing dan mencandat sotong, namun kali ini berdepan dengan situasi dipukul ombak," katanya yang berpengalaman 20 tahun di lautan.

TERKINI:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 1:54 PM