KEADAAN cermin kereta selepas ditembak menyebabkan mangsa maut di temapt kejadian di Bukit Rahman Putra, semalam. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN cermin kereta selepas ditembak menyebabkan mangsa maut di temapt kejadian di Bukit Rahman Putra, semalam. FOTO ihsan pembaca
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor mengesahkan kenderaan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tembakan di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam dibakar tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bagaimanapun berkata, setakat ini, tiada tangkapan dilakukan.

"Tiada tangkapan setakat ini... tetapi salah satu kenderaan digunakan dalam kejadian itu, jenis Toyota Hilux yang dicuri di Klang pada 2019 dan dijumpai dibakar kira-kira 1.5 kilometer daripada tempat kejadian.

"Kita masih lagi menyiasat berkenaan dengan pembabitan mangsa dalam kes-kes atau apa juga aktiviti yang mungkin menyebabkan berlaku perkara sebegini.

"Mangsa (tembak) mempunyai enam rekod jenayah lampau, antara rekod jenayah membabitkan kes samun dan ugutan jenayah dan dulu pernah ada rekod dikehendaki polis, sekarang tidak," katanya dalam sidang media secara maya di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan mangsa ditembak ketika memandu berhampiran kediamannya dengan empat das tembakan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Dalam kejadian sekitar jam 1.30 tengah hari, mangsa dikenali sebagai Sri Tharam Thanimalai, 42, sedang memandu kereta jenis Range Rover, merah di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra.

Suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah tingkap pemandu dan cermin hadapan kenderaan berwarna merah berkenaan.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian turut menemui kelopak peluru yang digunakan serta sarung tangan putih dipercayai digunakan suspek.

Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 6:51 PM