Noor Azam menunjukkan kereta yang dinaiki suspek bersama lapan warga Myanmar malam tadi. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Noor Azam menunjukkan kereta yang dinaiki suspek bersama lapan warga Myanmar malam tadi. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI yang ditembak mati di Jalan Pusat Bandar 9, Puchong malam tadi diekori pasukan khas Bukit Aman dari Kelantan sebelum kenderaan itu merempuh kereta dinaiki polis di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ketika tiba di kawasan itu pasukan berkenaan cuba melakukan tangkapan namun kenderaan dinaiki suspek merempuh kenderaan polis.

“Susulan itu, polis melepaskan tembakan menyebabkan pemandu kereta itu berusia 37 tahun maut manakala seorang penumpang warga Myanmar cedera.

“Pemeriksaan di dalam Perodua Alza mendapati terdapat seorang lagi warga Myanmar cedera akibat terkena tembakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Noor Azam berkata, siasatan mendapati lelaki yang ditembak mati itu terbabit dengan sindiket penyeludupan manusia dan ada 11 rekod jenayah lampau.

“Polis masih menyiasat peranan pemandu lelaki berkenaan. Dua wanita dan enam lelaki di dalam kenderaan itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

“Mangsa warga Myanmar yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Serdang. Polis turut menahan seorang lagi warga Myanmar di lokasi kejadian dipercayai berperanan sebagai perantara,” katanya.

Menurutnya, Perodua Alza itu sudah diubahsuai dengan semua kerusi belakang dikeluarkan bagi mengisi warga asing untuk diseludup.

“Siasatan terhadap kenderaan yang digunakan mendapati kereta itu disewa daripada seorang wanita di Gombak.

“Mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

Maut ditembak rempuh pegawai polis [METROTV]/a>

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 12:39 PM