Foto hiasan
Foto hiasan
Omar Ahmad

Kulai: Lelaki maut selepas dipukul gara-gara masalah hutang di sebuah rumah di Tan Yok Fong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memberitahu seorang lelaki cuba memasuki rumahnya pada 8.30 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis kemudiannya ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki itu yang berusia 46 tahun parah dipercayai dipukul.

"Berdasarkan maklumat, wanita berkenaan dikatakan sedang tidur ketika lelaki terbabit cuba masuk ke rumahnya dan dia yang terjaga kemudiannya menghubungi rakannya.

"Lelaki berkenaan dipercayai cuba melarikan diri selepas menyedari rakan mangsa tiba tetapi berlaku pergelutan antara mereka hingga menarik perhatian orang awam di sekeliling kediaman terbabit.

"Lelaki itu kemudiannya ditahan polis dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan lanjut.

"Dia dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas itu sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam hari yang sama.

"Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, polis yang menjalankan siasatan lanjut terhadap wanita itu kemudiannya mendapati lelaki terbabit dipukul kerana isu hutang.

Katanya, polis kemudiannya menahan wanita terbabit dan tiga lelaki termasuk warga Indonesia berusia 31 hingga 54 tahun.

"Polis sedang mengesan lagi seorang lelaki berhubung kejadian itu. Beberapa barangan turut dirampas bagi membantu siasatan kes itu.

"Kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 22 Ogos ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang awam dinasihati agar tidak bertindak di luar batasan undang-undang. Serah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 3:51 PM