DUA beradik yang diselamatkan orang awam. FOTO tular
DUA beradik yang diselamatkan orang awam. FOTO tular
Omar Ahmad


Kulai: Gara-gara bapa tertidur, dua kanak-kanak perempuan berusia setahun dan tiga tahun keluar dari rumah tanpa pengawasan, semalam.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, adik-beradik itu ditemui selamat oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, anggota ronda cegah jenayah yang sedang bertugas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian dan terus bergegas ke lokasi di Kampung Melayu Kulai, di sini.

Katanya, hasil siasatan kanak-kanak terbabit berjalan sejauh 50 hingga 100 meter dari kediamannya.

"Pemeriksaan dibuat terhadap kanak-kanak terbabit mendapati tiada sebarang kesan kecederaan akibat didera atau trauma.

"Polis bersama orang awam bertindak mengesan keluarga kanak-kanak berkenaan sebelum seorang lelaki yang mengaku bapa mereka tiba kira-kira 30 minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Beng Yeow, pemeriksaan dokumentasi yang dilakukan terhadap lelaki berusia 24 tahun itu mengesahkan dia adalah bapa kepada kedua-dua kanak-kanak perempuan terbabit.

Katanya, lelaki itu mengakui cuai dalam menjaga anak-anaknya semasa isterinya yang berusia 18 tahun sedang bekerja syif malam.

"Polis bertindak memberikan amaran keras kepada lelaki terbabit selain turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang bertindak melaporkan penemuan kanak-kanak itu kepada pihak berkuasa.

"Orang ramai khususnya golongan ibu bapa diingatkan agar jangan leka dan sentiasa menjaga keselamatan anak-anak mereka," katanya.

Dalam video tular berdurasi 38 saat, memaparkan dua kanak-kanak itu diberi makan oleh anggota keselamatan selepas ditemui orang awam di tepi jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 9:53 PM