GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Gara-gara masalah perniagaan, seorang ahli perniagaan mendakwa dirinya menjadi mangsa samun wang tunai bernilai RM600,000 bagi menipu rakan niaganya.

Ketua Polis daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki tempatan berumur 43 tahun, lebih kurang 9.40 malam pada kelmarin berhubung kejadian samun.

Katanya lelaki itu memberitahu kejadian lebih kurang jam 7.30 malam itu, dia sedang memandu kereta Toyota Alphard milik Syarikat sebelum didatangi dua kereta hitam di tepi jalan Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) selepas Plaza Tol Skudai, di sini.

"Pengadu mendakwa kereta itu dinaiki tiga lelaki tidak dikenali yang memakai pelitup muka dan bersenjatakan pisau. Salah seorang suspek kemudian bertindak mengambil kotak berisi wang tunai RM600,000 dalam keretanya dan melarikannya.

"Bagaimanapun soal siasat ke atas pengadu juga mendapati timbul keraguan dalam percakapan pengadu, "katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, pengadu mengaku membuat laporan polis palsu kerana mempunyai masalah dalam perniagaan.

Katanya pengadu memberitahu perlu membuat laporan polis palsu untuk ditunjukkan dengan rakan perniagaan.

"Pengadu ditahan reman dua hari bermula hari ini hingga esok untuk siasatan lanjut kes," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 5:27 PM