MAQIS merampas udang galah yang cuba diseludup ke Singapura.  FOTO Ihsan MAQIS Johor
MAQIS merampas udang galah yang cuba diseludup ke Singapura. FOTO Ihsan MAQIS Johor
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa keluar udang galah ke Singapura di laluan lori eksport, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, pagi hari ini.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, dalam kejadian 11.30 pagi, udang galah bernilai RM23,000 itu dipercayai tiada sebarang permit eksport daripada Jabatan MAQIS.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS mendapati 50 kotak berisi udang galah seberat 500 kilogram itu diletakkan dengan kotak berisi muatan produk sejuk beku yang lain di bahagian tengah lori.

“Kesemua dagangan terbabit ditahan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lelaki tempatan berusia 37 tahun itu bagaimanapun sudah dilepaskan setelah bagi kerjasama dan diambil kenyataan.

“MAQIS akan sentiasa memantau sebarang kemasukan dan keluaran yang membabitkan keluaran pertanian supaya ia mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 10:32 PM